Pernah minta rakyat ikat perut untuk kerajaan, kenapa kena percaya Tun M lagi? — Mohamad Ali


  • Politik
  • Ahad, 09 Okt 2022

Tun Mahathir memberitahu akan melaksanakan semua Bajet 2023 yang diumumkan sebelum ini jika diberi mandat pada PRU15.

PENGUMUMAN bajet 2023 yang diumumkan baru-baru ini rata-rata mendapat reaksi yang positif daripada rakyat.

Selepas pembentangan bajet, masih ada satu lagi teka teki yang belum dapat disahkan iaitu tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Ketika ini, parti politik dan pemimpinnya sedang giat merancang dan menggunakan pelbagai kesempatan yang ada sebelum PRU15 ditentukan tarikhnya.

Begitu juga halnya dengan pengumuman bajet 2023 yang didakwa Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad sebagai peluang yang digunakan untuk agenda politik sendiri.

110622-MLK-petisyen-rayuan-2ND-LEAD

Mohamad Ali minta rakyat jangan terpedaya dengan Tun M.

Perkara itu dinyatakan Mohamad Ali susulan janji yang dinyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Gerakan Tanah Air (GTA) akan melaksanakan Bajet 2023 jika diberi mandat pada PRU15.

"Sebelum PRU14, Mahathir mengatakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) adalah dedak. Dia juga pernah menyatakan pemberian BR1M adalah kesilapan besar yang dibuat oleh kerajaan pada masa itu.

"Demi kuasa, dia sanggup buat pusingan U untuk kekalkan BR1M dan berjanji akan berikan mengikuti polisi yang ditetapkan.

"Tetapi apa jadi? Nama BR1M ditukarkan kepada Bantuan Sara Hidup (BSH). Amaun BR1M yang asalnya RM1,200 dan jumlah penerima BR1M pada seramai 7 juta ketika itu telah dikurangkan amaunnya kepada RM1,000 dan diberi kepada 3.6 juta penerima sahaja," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Menurut Mohamad Ali, rakyat perlu ingat, sejarah tidak pernah padam bagaimana Mahathir dan kuncunya, mengubah segala-galanya sehingga menyusahkan rakyat.

Jelasnya, mereka memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah dan Mahathir juga pernah meminta rakyat ikat perut untuk bantu kerajaan.

"Pelbagai cerita dongeng didendangkan. Jadi adakah kita masih lagi hendak percaya pada GTA yang diketuai Mahathir? Sudah pasti kita tidak boleh percaya langsung.

"Saya harap semua tidak tertipu lagi, buah pisang berbuah dua kali tidak mengapa kerana boleh dimakan dan mengenyangkan tetapi janganlah dikencing atau ditipu berkali-kali kerana ia cukup menyeksakan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram