Penghantar makanan maut terperosok bawah lori dekat lampu isyarat di Shah Alam


  • 112
  • Selasa, 17 Okt 2023

Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang menunggang motosikal itu terperosok di bawah lori. — Polis

SEORANG penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat dekat Kampung Lombong-Persiaran Anggerik Mokara, Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 10.42 pagi.

Katanya, selain daripada lori dan penunggang motosikal terbabit, kemalangan itu turut membabitkan seorang lelaki yang sedang menunggang basikal di lokasi.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lori jenama Nissan UD dari arah Kampung Lombong bertembung dengan sebuah motosikal jenama Yamaha Y15ZR serta sebuah basikal yang datang dari arah Rimbayu di lampu isyarat tersebut.

"Akibat perlanggaran ini, penunggang motosikal terperosok di bawah lori manakala penunggang basikal telah tercampak di bahu jalan dan mengalami kecederaan ringan.

"Mangsa berumur 29 tahun merupakan seorang penghantar makanan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Iqbal berkata, mayat mangsa dibawa ke hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat dengan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Kata beliau, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul bin Suhiami di talian 011-31215697.

Dalam pada itu, satu video tular mengenai insiden terbabit mendakwa kejadian tersebut berpunca apabila lori terbabit bertindak melanggar lampu merah.

Terdapat juga warganet yang dipercayai merupakan saksi kejadian mendakwa melihat lori tersebut yang dipandu secara laju sebelum insiden.

"Kami tengok masa lori tu langgar. Laju betul dia. Tengok-tengok dah terbaring mangsa. Yang trauma penunggang basikal. Dia sempat elak," tulis Aurona_bakery. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram