Penduduk Felda Bukit Cherakah bantah pemindahan laluan utama, anggap jalan baharu lebih bahaya


  • Massa
  • Ahad, 15 Okt 2023

Satu perhimpunan aman dilakukan di kawasan Jalan 1, Kampung Felda Bukit Cherakah pada Ahad.

RATA-RATA penduduk kampung Felda Bukit Cherakah mahu jalan masuk utama ke penempatan itu yang digunakan sejak tahun 1988 dikekalkan memandangkan laluan baharu lebih curam dan berisiko kemalangan.

Kemahuan itu disuarakan menerusi satu perhimpunan aman yang dibuat oleh penduduk kampung Felda Bukit Cherakah pada Ahad sebagai usaha menyatakan bantahan mengenai penutupan laluan utama iaitu Jalan 1 yang bakal ditukar kepada Jalan Alternatif sebagai jalan baharu.

Lebih memburukan keadaan, bantahan tersebut dibuat susulan penduduk tidak berpuas hati gara-gara tidak dimaklumkan secara rasmi berkenaan perubahan jalan memandangkan mereka sudah melalui Jalan 1 sebagai laluan masuk utama sejak 40 tahun lalu.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Generasi Kedua kampung, Faizal Rahman, 39, berkata, maklumat itu diketahui rata-rata penduduk ketika proses kerja ukur Jalan Alternatif dilaksanakan.

Menurutnya, penduduk bertambah kesal apabila Jalan Alternatif itu akan dibina bertentangan dengan Pusat Koreksional Puncak Alam, Jabatan Penjara Malaysia, iaitu berhampiran kawasan selekoh berbukit, yang mana ia melibatkan penggunaan cerun dan selekoh berbahaya dari sudut keselamatan pengguna.

“Terlalu bahaya kerana persimpangan tersebut terletak di kaki bukit jalan yang curam (dari arah Puncak Alam) dan selekoh berbukit (dari arah Meru), sedangkan kawasan tersebut kerap kali berlaku kemalangan.

"Kawasan itu kerap berlaku kemalangan dan sangat tidak sesuai dijadikan jalan baharu," katanya kepada media selepas bantahn yang dihadiri kira-kira 100 orang penduduk Kampung Felda Bukit Cherakah pada Ahad.

Penduduk turut menyerahkan memorandum dan petisyen yang ditandatangani 460 penduduk kepada Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Maskor Tumiran.

WhatsApp Image 2023-10-15 at 2.47.05 PM

Dari kiri Khairi Dzul Azizi, Faizal Rahman menyerahkan memorandum dan petisyen kepada Maskor Tumiran (kanan).

Mengulas lanjut, Faizal berkata, Jalan Alternatif itu turut menyukarkan penduduk untuk bergerak dari satu destinasi kepada destinasi yang lain kerana aluran jalan yang tidak sekata dan jauh.

"Penduduk terpaksa membuat satu lencongan besar di sepanjang Jalan 1 sama ada melalui laluan Puncak Alam atau Kampung Meru Tambahan untuk masuk ke kawasan kampung.

Sehubungan dengan itu, penduduk Kampung Felda Bukit Cherakah memohon pihak Menteri Besar Selangor agar mengekalkan Jalan Utama yang digunakan sejak 40 tahun lalu.

Penduduk turut berasa Jalan Utama yang dikenali sebagai Jalan 1 dan juga dikenali dengan nama Jalan Felda Bukit Cherakah lebih sesuai digunakan.

Ini kerana, Jalan 1 ini memiliki aliran jalan yang sempurna dan mudah bagi tujuan keluar masuk kampung tanpa sebarang ancaman dari segi keselamatan.

"Jalan 1 sekarang sangat strategik kerana pengguna hanya perlu lalu terus sahaja untuk pergi ke sepanjang kawasan tengah kampung dan terus ke jalan besar arah ke bandar atau pekan berdekatan.

"Jalan ini bukan sahaja digunakan oleh penduduk Kampung Felda Bukit Cherakah, malah menjadi jalan mudah untuk ke Puncak Alam Fasa 1," katanya.

Selain itu, penutupan Jalan 1 akan menjejaskan pendapatan penduduk kampung kerana masih terdapat beberapa kedai milik persendirian yang masih beroperasi berhampiran pintu masuk Jalan 1.

Penutupan Jalan 1 akan mengakibatkan kedai runcit dan beberapa buah kedai yang masih dibuka sukar untuk memperoleh hasil jualan seperi biasa gara-gara tidak ramai orang yang melalui jalan berkenaan.

Pemilik kedai runcit Andela Enterprise, Mohd Ridwan Ibrahim, 28, berkata, dia tidak bersetuju dengan penutupan Jalan 1 kerana jalan tersebut merupakan laluan bagi menuju ke premis perniagaannya.

"Jika jalan ini ditutup, memang tiada siapalah yang datang ke kedai saya.

"Mula-mula, mereka ada beritahu mahu ambil kedai saya sekali, tanpa apa-apa pampasan, jadi itu yang saya memang bantah," katanya.

Dalam usaha penutupan Jalan 1, beberapa buah premis turut diruntuhkan yang menyebabkan peniaga turut terjejas dari segi ekonomi.

Antaranya premis yang diruntuhkan adalah sebuah kedai runcit, warung makanan dan bengkel kereta.

Tinjauan Majoriti mendapati gerai yang sudah roboh kini masih beroperasi di dalam Kampung Felda Bukit Cherakah, berhampiran kawasan Projek Ilham dan beberapa lagi berhampiran Masjid Kampung Felda Bukit Cherakah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram