[VIDEO] Pemandu lori degil langgar lampu isyarat merah depan sekolah di Batu Gajah


  • Tular
  • Sabtu, 14 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan mangsa sempat mengelak sebuah lori yang melanggar lampu isyarat di hadapan sekolah di Batu Gajah, Perak Pada Jumaat.

SEORANG murid perempuan berdepan detik-detik cemas sebelum nyaris dilanggar sebuah lori ketika mahu melintas jalan di SMK Toh Indera Wangsa Ahmad (Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Indera Wangsa Ahmad) Batu Gajah, Perak pada Jumaat.

Menerusi video dashcam yang dimuat naik oleh @nanmanjoi8715 di Twitter (X) pada Sabtu, murid perempuan yang lengkap berpakaian uniform sekolah itu dilihat mahu melintas jalan di laluan pelintas jalan kaki ketika itu.

Pada masa yang sama, rakaman tersebut sempat merakam sebuah lori yang secara melulu melanggar lampu isyarat merah hampir melanggar murid tersebut.

Berdasarkan informasi yang dikongsikan dalam video itu, ahli keluarga mangsa sudah cuba untuk membuat laporan polis namun laporan itu tidak diterima kerana kemalangan tidak berlaku pada waktu itu.

Dalam rakaman tersebut juga ada menyatakan bahawa saksi yang berada ketika kejadian dimohon untuk tampil bagi mengenal pasti lori berkenaan.

Sementara itu, salah seorang warga maya turut berang dengan tindakan lori tersebut yang dilihat memandu secara berbahaya di kawasan sekolah.

"@PDRMsia, sila tangkap pemandu lori tersebut," komen @KHYon25986000.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan mengatakan anggotanya tidak menerima laporan mangsa terlibat.

Katanya, perkara itu akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah terlibat.

Beliau turut menegaskan pihak polis tidak pernah menolak mana-mana individu untuk membuat laporan dan tindakan akan diambil sekiranya dakwaan tersebut benar-benar berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram