[VIDEO] Isteri bantu suami bunuh, campak mayat kekasih gelap dalam sungai


  • Benua
  • Khamis, 14 Sep 2023

Tangkap layar pasangan suami isteri didakwa membunuh dan mencampak mayat mangsa ke dalam sungai di India baru-baru ini.

SEORANG wanita berusia 28 tahun dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya di Palghar Maharashtra, India selepas memfailkan kes rogol terhadap pasangannya itu.

Menurut laporan polis, isteri kepada lelaki tersebut dipercayai turut membantu suaminya membunuh wanita itu dan kemudian membuang mayat mangsa ke dalam anak sungai di Valsad, Gujerat.

Mangsa, Naina Mahat bekerja sebagai jurusolek dalam industri perfileman, manakala tertuduh, Manohar Shukla pula pernah bekerja sebagai pereka fesyen.

Mereka difahamkan telah menjalinkan hubungan sulit selama lima tahun.

Siasatan awal mendapati Naina memaksa Shukla untuk mengahwininya, namun disebabkan lelaki itu enggan berbuat demikian, mangsa bertindak memfailkan aduan rogol terhadapnya.

Shukla kemudian didakwa meminta mangsa menarik balik kes tersebut, tetapi ditolak.

Suspek kemudian nekad untuk membunuh Naina. Selepas membunuhnya, Shukla yang berusia 43 tahun itu meminta bantuan isterinya untuk memasukkan mayat itu ke dalam beg pakaian sebelum ia dibuang ke dalam anak sungai di Valsad, Gujerat.

Kejadian pasangan suami isteri berkenaan membawa bagasi tersebut menaiki lif berjaya dirakam menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

Kejadian ngeri itu dipercayai berlaku pada 9 Ogos lalu.

WhatsApp Image 2023-09-14 at 14.35.36

Naina Mahat

Dalam pada itu, keluarga Naina memfailkan aduan berkenaan orang hilang di balai polis Naigaon pada 12 Ogos lalu.

Kakaknya yang dikenali sebagai Jaya berkata, dia tidak dapat menghubungi Naina pada 12 Ogos kerana telefonnya dimatikan, sebelum mengambil keputusan untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Menurut laporan tersebut, Shukla telah mendesak Naina untuk menarik balik aduan yang difailkan terhadapnya dan jika tidak berbuat demikian, dia mengugut untuk membunuhnya.

Pasangan suami isteri itu ditahan oleh pihak berkuasa pada Selasa untuk siasatan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram