Jangan bazir duit pembayar cukai tolong mangsa scam — Michael Chong


  • Massa
  • Sabtu, 14 Okt 2023

Michael Chong mencadangkan wang pembayar cukai tidak harus dibelanjakan untuk mangsa sindiket penipuan.

SINDIKET penipuan tawaran bekerja di luar negara semestinya bukan perkara baharu, namun masih ramai yang tidak peka dengan segala amaran yang sudah diberikan oleh pihak berkuasa.

Oleh itu, kerajaan dinasihatkan agar dapat membanteras jenayah tersebut dengan lebih serius dan secara efektif.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menegaskan bahawa amaran mengenai penipuan pekerjaan telah disebarkan sepanjang masa bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat sahih mengenai jenayah seperti itu namun, ia seolah-olah tidak didengari.

Dalam pada itu, Chong mencadangkan bahawa lebih banyak dana yang harus digunakan dalam menghapuskan penipuan itu dan bukannya membelanjakannya kepada mangsa yang terjebak dalam sindiket tersebut.

Chong berkata demikian merujuk kepada peruntukan RM110 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia Luar Negeri bahawa dana tersebut akan digunakan untuk membantu mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 pada Jumaat.

“Sudah tentu inisiatif kerajaan yang baik adalah untuk merangka rancangan membantu mangsa di luar negara tetapi mengapa ia mesti membebankan rakyat?.

“Wang hasil titik peluh pembayar cukai tidak seharusnya dibelanjakan untuk membantu mangsa-mangsa ini, yang telah diberi amaran ratusan kali,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada masa yang sama, Chong mencadangkan wang itu boleh digunakan dengan lebih baik, seperti dalam operasi untuk mengenal pasti dan melumpuhkan sindiket penipuan pekerjaan.

"Jika sindiket ini tidak wujud lagi, tiada lagi mangsa," katanya.

Chong menjelaskan, pada masa ini, mangsa-mangsa tersebut akan mendapat bantuan melalui kedutaan Malaysia di negara masing-masing.

“Mengumpul wang untuk membawa pulang mangsa ini tidak pernah menjadi isu besar.

“Biasanya, pihak kedutaan akan menghubungi kami dan kami akan berkoordinasi dengan keluarga mangsa untuk merancang dan mencari jalan untuk membawa pulang orang yang mereka sayang,” tambahnya.

Chong berkata, peruntukan itu bertujuan untuk menunjukkan rasa prihatin dan simpati kepada mangsa namun ia mungkin akan disalah erti sekali gus menimbulkan salah faham kepada orang ramai bahawa tidak mengapa untuk mencuba nasib dengan sindiket itu kerana ada bantuan daripada kerajaan untuk membantu mereka.

Dalam pada itu, Pengasas Pengasas Marah (Rakyat Malaysia Menentang Rogol, Serangan dan Ragut), Dave Avran berkata, selain dana itu, terdapat juga program untuk mendidik orang ramai mengenai sindiket penipuan itu.

“Orang ramai perlu dimaklumkan dengan baik mengenai taktik terkini yang digunakan oleh penipu ini dan mesti dilengkapi dengan pengetahuan bagaimana untuk menyemak dengan pihak berkuasa masing-masing mengenai perkara itu.

“Begitu juga, belanjawan yang ditambah untuk Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional harus digunakan untuk mewujudkan kesedaran kerana secara realistik, kita tidak boleh membasmi penipuan,” katanya.

Avran juga berkata, Portal Penipuan Nasional yang akan dilancarkan tidak lama lagi untuk menjejak dan membekukan akaun sudah lama tertangguh.

Akaun keldai adalah akaun bank yang digunakan oleh orang lain tanpa disedari ataupun secara sukarela oleh pemilik akaun tersebut bagi mendapatkan habuan mahupun dengan cara penipuan untuk transaksi kewangan yang tidak sah atau menyalahi undang-undang.

"Sebarang inisiatif untuk mempercepatkan proses mengembalikan wang kepada mangsa adalah perlu dan dialu-alukan," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram