Tren KTM asyik terkandas dan tak ada penambahbaikan, Anthony Loke diseru 'buat kerja'


  • Tular
  • Isnin, 16 Okt 2023

Orang ramai terpaksa menunggu selama satu jam di KTM Stesen Batang Benar, Negeri Sembilan,

PERKHIDMATAN Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Batang Benar, Negeri Sembilan dipercayai mengalami gangguan selama satu jam akibat terputus bekalan elektrik pada Isnin.

Kejadian itu dikongsikan seorang pengguna tren menerusi ciapan di laman X (Twitter) pada hari yang sama.

Katanya, situasi itu dikatakan telah mengganggu jadual pergerakan banyak pihak yang menjadikan KTM sebagai pengangkutan utama untuk menuju ke destinasi masing-masing.

Lebih mendatangkan kemarahan, luahnya, perkhidmatan pengangkutan itu dilihat seolah-olah tidak ada penambahbaikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya berhubung isu bekalan elektrik.

"Saya ingin mengadu tentang perkhidmatan KTM. Baru-baru ini kami telah terkandas dan ia banyak memberi impak kepada pengguna lain.

"Ramai orang bergantung kepada KTM untuk pergerakan harian sama ada ke tempat kerja, sekolah dan melakukan aktiviti lain. Ini kerana KTM adalah antara pengangkutan yang mudah untuk orang ramai merancang perjalanan mereka.

"Namun sebagai pengguna tetap KTM sejak tiga tahun lalu, saya mendapati tiada sebarang penambahbaikan terhadap isu elektrik dan kereta api yang berhenti secara tiba-tiba," kongsinya.

WhatsApp Image 2023-10-16 at 21.00.44

KTMB di Stesen Batang Benar, Negeri Sembilan mengalami gangguan selama satu jam akibat terputus bekalan elektrik pada Isnin.

Menerusi ciapannya juga, pengguna tersebut turut memetik nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan beberapa pempengaruh lain untuk sama-sama memandang isu itu dengan lebih serius.

Sementara itu, dia juga mengakui masalah yang kerap berlaku itu jelas mendatangkan kesulitan buat para penumpang KTM.

Dia dalam pada itu turut menggesa pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.

"Saya faham bahawa mungkin ada kalanya berlaku keadaan yang tidak dijangka hingga boleh menyebabkan kelewatan.

"Tetapi saya percaya bahawa KTM boleh melakukan penambahbaikan untuk menangani isu-isu ini.

"Saya menggesa anda untuk melihat perkara ini dan mengambil langkah segera bagi meningkatkan kebolehpercayaan dan keselesaan perkhidmatan tren KTM," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram