[VIDEO] 'Tuhan sahaja tahu betapa susahnya nak bernafas', pengguna KTMB panik dibiar dalam tren rosak setengah jam


  • Massa
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Menurut Yuslaini, penumpang dibiarkan di dalam tren untuk tempoh agak lama sebelum pegawai KTMB datang bagi membuka pintu penghadang komuter berkenaan. — Facebook/YuslainiAzmi

SATU kejadian komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) rosak dilaporkan berlaku pada pagi Isnin membabitkan tren yang bertolak dari Sungai Petani, Kedah.

Insiden itu dikongsikan seorang pengguna Facebook, Yuslaini Azmi yang dipercayai merupakan salah seorang daripada penumpang menggunakan perkhidmatan awam tersebut pada waktu terbabit.

Bagaimanapun, lebih mengejutkan dalam kejadian tersebut, difahamkan penumpang dibiarkan berada di dalam tren tersebut untuk satu tempoh agak lama sehingga menimbulkan risiko keselamatan terhadap mereka.

"Kejadian buruk berlaku pagi tadi, baru naik KTM dari Sungai Petani seawal pukul 7.31 pagi, tak sampai 5 minit perjalanan KTM tiba-tiba rosak di tengah jalan.

"Saya ingat sekejap pada mulanya, tunggu punya tunggu sampai saya sesak dada dan start panik barulah pegawai KTM datang dan beritahu KTM rosak dan beliau terus buka pintu penghadang sebab ruang udara tiada dah hampir setengah jam dalam gerabak tu.

"Bayangkan ada orang tua, orang yang ada masalah kesihatan macam aku ni sampai panik dengan kejadian tadi. Tuhan sahaja yang tahu betapa strugglenya nak bernafas tadi," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurut Yuslaini, hasil pemerhatian dan perbualannya bersama penumpang lain, rata-rata daripada mereka yang menaiki komuter itu menggunakannya untuk pergi ke tempat kerja.

Disebabkan itu, situasi berkenaan sememangnya menimbulkan kerisauan kepada mereka kerana bakal menghadapi kelewatan untuk ke tempat kerja masing-masing.

Tambahnya, terdapat juga penumpang yang merungut memandangkan isu kerosakan itu bukanlah kali pertama menimpa penumpang pengangkutan awam tersebut dan mendakwa tiada sebarang langkah untuk menambah baik perkhidmatan dilakukan sepanjang tempoh berkenaan.

"Sebagai rakyat Malaysia yang inginkan Malaysia ke arah lebih baik saya harap KTM ubah servis ke arah lebih baik, kes seperti ini bukan sekali dua terjadi dah berulang kali namun pengurusan KTM tetap tidak ambil tindakan yang sepatutnya.

"Jangan hanya masa pilihan raya janji bulan bintang, hal asas macam pengangkutan awam pun masih gagal lagi nak penuhi keperluan rakyat Malaysia.

"Satu jam yang membazir masa semua orang, saya harap ada post mortem dilakukan oleh Menteri Pengangkutan berkenaan hal ini," ujarnya.

Setakat laporan ini ditulis, pihak KTMB belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan insiden terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram