[VIDEO] Kedai nombor ekor dekat Butterworth kena rempuh Proton Saga tertekan pedal minyak, 2 parah


  • 112
  • Ahad, 15 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan Proton Saga berwarna merah itu terbabas sebelum merempuh kedai menjual nombor ekor terbabit dalam kejadian di Taman Molek, dekat Butterworth, Pulau Pinang pada Ahad.

SEBUAH kereta dipandu seorang lelaki warga emas terperosok dalam sebuah kedai menjual nombor ekor sehingga merempuh seorang pekerja wanita di situ, dalam dalam kejadian di Taman Molek, dekat Butterworth, Pulau Pinang pada Ahad.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu berlaku, apabila pemandu lelaki warga emas berusia 65 tahun dipercayai tertekan pedal minyak kereta Proton Saga dipandunya, sehingga merempuh masuk kedai tersebut dan melanggar ruang kaunter di situ.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Noorhisham Md Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.06 petang dan terus ke lokasi, sebelum mendapati kereta dipandu lelaki tersebut telah terperosok dalam kedai berkenaan.

"Lelaki yang memandu sendirian itu tersepit di bahagian pemandu dan kami menjalankan kerja-kerja menyelamat bagi mengeluarkannya, sebelum warga emas tersebut yang cedera di bahagian pinggang dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

"Manakala seorang pekerja wanita di kedai itu yang berusia 70-an mengalami cedera di kaki dan tangan, selepas dirempuh kereta tersebut dan semasa kejadian dia berada di meja makan yang terletak kira-kira dua meter dari kaunter. Mangsa dalam keadaan stabil dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Noorhisham berkata, lelaki warga emas itu mendakwa dia mahu meletakkan keretanya di hadapan kedai tersebut, namun tertekan pedal minyak sehingga masuk ke dalam premis terbabit. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram