PERKESO komited laksana 6 inisiatif perkasa jaringan sosial pekerja


  • Primer
  • Sabtu, 14 Okt 2023

Peruntukan lebih RM200 juta kepada Kementerian Sumber Manusia menerusi PERKESO untuk memperkasa jaringan perlindungan sosial dan memacu pasaran buruh adalah selari usaha Kerajaan Persekutuan ke arah agenda reformasi struktur.

PERUNTUKAN lebih RM200 juta kepada Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memperkasa jaringan perlindungan sosial dan memacu pasaran buruh adalah selari usaha Kerajaan Persekutuan ke arah agenda reformasi struktur.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, peruntukan dana daripada Belanjawan 2024 itu antara lain meliputi pelaksanaan enam inisiatif, termasuk pengenalan dua inisiatif baharu iaitu memudahkan integrasi kumpulan sasaran ke sektor awam dan peningkatan siling gaji dinsuranskan dari RM 5000 ke paras baharu iaitu RM 6000 untuk Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) serta Akta Sistem Insurans Pekerjaaan 2017 (Akta 800).

Menurut beliau, kenaikan siling gaji diinsuranskan ke paras baharu ini akan berkuat kuasa selepas pindaan terhadap kedua-dua peruntukan akta berkenaan, sekali gus dijangka meningkatkan faedah tunai sebanyak 20.2 peratus bagi 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka jika ditimpa bencana kerja, keilatan, kematian atau kehilangan pekerjaan.

Kedua-dua usaha ini, jelasnya, diyakini menjadi pemangkin sinergi keselamatan sosial, selain mewujudkan persekitaran pasaran buruh yang menepati prinsip kesaksamaan dalam kalangan masyarakat.

"Tekad Kerajaan Persekutuan dalam memaknai keutuhan perlindungan sosial rakyat juga dicerminkan menerusi penambahbaikan dua inisiatif sedia ada yang dilanjutkan, iaitu geran padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan peruntukan RM100 juta dan tanggungan kerajaan dinaikkan kepada 90 peratus berbanding 80 peratus sebelum ini serta pembiayaan caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menerusi peruntukan RM50 juta.

"Dua lagi inisiatif yang turut dilanjutkan adalah Program Latihan Bina Kerjaya (RM35 juta) dan skim sokongan pekerjaan di sektor swasta (RM30 juta), dengan tiga golongan sasar digariskan iaitu Orang Kelainan Upaya (OKU), bekas banduan dan warga emas," katanya dalam kenyataan.

Sivakumar berkata, dasar pengambilan pekerja OKU sebanyak 1% akan diperluaskan kepada golongan bekas banduan dan warga emas untuk dilaksanakan di pelbagai Kementerian, GLIC dan GLC serta rakan strategik Kerajaan.

Beliau berkata, pemerkasaan dasar ini akan disokong menerusi peranan pegawai perkhidmatan pekerjaan PERKESO dan platform portal perkhidmatan pekerjaan negara MYFutureJobs yang dilengkapi dengan kebolehan ‘Artificial Intelligent’ yang dapat memastikan pemadanan pekerjaan yang cekap serta bersesuaian dengan golongan ini dapat dilakukan seterusnya mengurangkan tempoh penempatan pekerjaan bagi golongan tersebut.

"Pelaksanaan rangkaian inisiatif yang terkandung dalam inti pati Belanjawan 2024 di bawah Kementerian Sumber Manusia menerusi PERKESO ini akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa, demi menjamin aspek keberkesanan, selari hasrat Kerajaan Persekutuan memperketatkan aspek tatakelola," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram