[VIDEO] Penjawat awam terima insentif RM2,000, pesara dapat RM1,000


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Langkah pemberian insentif itu dibuat sementara menunggu Kerajaan menjalankan proses semakan semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada 2012. — Gambar hiasan

KERAJAAN bersetuju memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, menerusi insentif serupa, kerajaan turut memberikan sebanyak RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam meliputi pasukan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

"Bayaran Insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

"Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Anwar berkata, langkah pemberian insentif itu dibuat sementara menunggu Kerajaan menjalankan proses semakan semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada 2012.

"Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan," ujarnya.

Dalam pada itu, bagi memastikan nasib penjawat awam terbela, Anwar berkata, kerajaan bersetuju supaya liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000.

Jelas beliau, ia selaras dengan pindaan Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi sektor swasta.

"Kenaikan had siling gaji ini membolehkan kadar bayaran faedah di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja meningkat sehingga 50 peratus atau sekitar RM1.6 juta.

"Dengan kata lain, penjawat awam atau waris akan menikmati tuntutan pampasan yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan semasa bertugas," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram