Skim Perubatan Madani diperluas ke seluruh negara, manfaatkan 700,000 rakyat


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Kerajaan akan memperluas Skim Perubatan Madani ke seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. — Gambar Hiasan

SKIM Perubatan Madani akan diperluas ke seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM100 juta yang akan memanfaatkan 700,000 rakyat Malaysia.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga bakal meneruskan skim mySalam bagi tempoh dua tahun lagi.

"Sejumlah RM50 juta disediakan untuk tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diperuntukkan sebanyak RM41.2 bilion ketimbang RM36.3 bilion pada tahun ini, yakni peningkatan terbesar daripada kalangan kementerian.

Ujarnya, sejumlah RM5.5 bilion daripadanya adalah untuk memperoleh bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin.

Tambah beliau, kerajaan akan mula melaksanakan beberapa projek pembangunan baharu pada tahun hadapan.

"Ini termasuk Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos RM938 juta dan kerja awalan bagi Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru, Johor," jelasnya.

Beliau menambah, sejumlah RM300 juta disediakan untuk membaik pulih 400 klinik uzur yang masih mempunyai struktur kayu dan pendawaian usang.

"Sejumlah RM766 juta turut disediakan untuk perolehan peralatan perubatan di hospital KKM bagi menggantikan peralatan yang mencecah Beyond Economic Repair (BER) di samping memenuhi keperluan pelbagai disiplin perkhidmatan baharu.

"Ini termasuk RM200 juta untuk perolehan bagi memastikan kesiagaan perkhidmatan kesihatan dalam memberi respons kepada panggilan kecemasan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram