Kerajaan setuju beri diskaun bayaran balik PTPTN


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Bagi kadar pertama, Anwar berkata, diskaun 10 peratus akan diberikan atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman. — Gambar hiasan

KERAJAAN bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, terdapat tiga kadar diskaun yang akan dilaksanakan dalam langkah tersebut.

Bagi kadar pertama, beliau berkata, diskaun 10 peratus akan diberikan atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

"Kedua, diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

"Ketiga, diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual," katanya.

Dalam pada itu, berkait dengan kebajikan pelajar universiti, Anwar menegaskan bahawa kerajaan sekali-kali tidak akan melaksanakan langkah yang berpotensi menghalang mahasiwa khususnya daripada keluarga susah untuk mendapat tempat dan mendaftar di universiti awam.

Sehubungan itu, beliau berkata, bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500.

"Ini supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak," ujarnya.

Pada masa sama, Anwar berkata, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.

"Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar," kata Anwar.

Belanjawan 2024 memperuntukkan sejumlah RM 393.8 bilion dengan RM 303.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus manakala RM 90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Belanjawan kali ini mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Ia merupakan belanjawan kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang menjadi induk kepada dasar-dasar diluncurkan iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12).

Tiga tumpuan utama Belanjawan 2024 adalah tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram