Insentif RM2,000 buat penjawat awam gred 56 dan lantikan kontrak pada Februari 2024


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Insentif sebanyak RM2,000 akan disalurkan kepada penjawat awam bermula Februari 2024. — Gambar hiasan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk memberi bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam.

Bantuan itu meliputi pekerja gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

"Bayaran Insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

"Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal," katanya.

Belanjawan kali ini mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Ia merupakan belanjawan kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar bakal menyaksikan penyepaduan dasar-dasar menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) selaras dengan kerangka Ekonomi Madani. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram