SEBUAH bot yang membawa 20 penumpang termasuk 11 pelajar sekolah dan enam buah motosikal dilaporkan karam berhampiran jeti Pangkalan Balang, Kampung Semilang di Demak Laut, Kuching, Sarawak pada Jumaat.
Difahamkan, jarak dari Kampung Semilang ke pusat bandar hanya mengambil masa selama 20 minit namun rata-rata penduduk masih bergantung pada bot dan perahu untuk menyeberangi sungai ke Taman Perindustrian Demak Laut.
Mengulas kejadian tersebut, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kesemua penumpang bot berjaya berenang ke darat dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku.
"Kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 6 pagi dan kesemua penumpang disahkan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Rata-rata warganet di ruangan komen berpendapat bahawa situasi itu kerap berlaku dan tiada sebarang tindakan diambil pihak kerajaan.
"Sudah lama perkara ini berlaku, sampai bila pelajar sekolah terpaksa naik bot untuk ke sekolah, Kuching masih mundur," kata Razali Mizan.
"Kalau tiada kes begini sampai bila-bila akan berterusan macam ini, bot pun terlalu usang dan bahaya untuk dinaiki," ujar Kamel Tajdin.
"Sedih lihat pelajar nak ke sekolah masih naik bot, karam sampai rosak baju dan peralatan sekolah," tambah Nur Adawiyah.
Menurut laporan media, Ahli Dewan Undangan Negeri Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata, siasatan awal menunjukkan bahawa bot tersebut bocor dan jumlah muatan pula melebihi kapasiti penumpang.
Hazland yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar berkata, tender untuk membina jeti di bawah Projek Transformasi Luar Bandar untuk kawasan tersebut akan dikeluarkan pada bulan Disember tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram