Kerajaan Perpaduan lancar tabung dana RM10 juta bantu warga Palestin


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Perkembangan mutakhir di Semenanjung Gaza bertambah gawat tatkala Israel kini telah mengepung warga Gaza dan Israel.

MELIHAT situasi genting yang berlaku di Gaza ketika ini, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meluncurkan tabung kemanusiaan bagi menampung serta membantu warga Palestin dengan dana sebanyak RM10 juta.

Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan turut menggesa syarikat-syarikat serta orang ramai untuk ikut serta demi prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat.

"Perkembangan mutakhir di Semenanjung Gaza bertambah gawat tatkala Israel kini telah mengepung warga Gaza dan Israel.

"Rejim Zionis itu juga telah secara ganas dan biadab ingin menghalau mereka ke selatan semenanjung tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Perdana Menteri melancarkan tabung tersebut selepas selesai menunaikan solat Jumaat dan solat hajat bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di Putrajaya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata, semua pihak berkuasa agama negeri diminta membuat kutipan menerusi tabung berkenaan.

Katanya, hasil kutipan akan disalurkan ke Tabung Musa'adah JAKIM-YWM untuk penyelarasan dan agihan kepada pihak yang akan diberi tanggungjawab bagi menyampaikan sumbangan berkenaan terus kepada mangsa.

"Kutipan tabung bermula hari ini hingga 30 November akan dipanjangkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri dan semua agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Jal Ehwal Agama) sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Palestin yang dizalimi," katanya memetik laporan media tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram