Hospital dan masjid dibedil rejim Israel, bencana kemanusiaan di Gaza makin mendesak


  • Benua
  • Khamis, 12 Okt 2023

Krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing apabila banyak kemudahan awam dibedil rejim Israel. — Agensi

SEKURANG-KURANGNYA 40 pejabat media dan 970 rumah di Semenanjung Gaza musnah selepas serangan udara tentera Israel ke atas Gaza, menurut dokumentasi Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med.

Ujarnya, jenayah yang dilakukan tentera Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza semakin berleluasa dalam tempoh lima hari berturut-turut.

Keadaan semakin memuncak apabila Israel mula memutuskan bekalan elektrik, air, makanan dan bahan api di Gaza, seterusnya mewujudkan ancaman bencana kemanusiaan.

Lapor Euro-Med Monitor, serangan Israel telah mengakibatkan kematian lebih 1,000 rakyat Palestin, dengan kira-kira 60 peratus daripada mereka adalah orang awam, termasuk 185 kanak-kanak dan 120 wanita.

Sementara itu, kira-kira 5,000 penduduk lain mengalami kecederaan, dengan ratusan lagi terperangkap di bawah runtuhan dan juga di sepanjang kawasan sempadan.

“Apa yang berlaku di Gaza menyaksikan bencana kemanusiaan yang menyeluruh, terutamanya dengan gangguan bekalan elektrik, air dan pelbagai bekalan penting yang menjejaskan lebih 90 peratus penduduk awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Serangan Israel telah mengakibatkan kematian lebih 1,000 rakyat Palestin. — Agensi

Sebelum ini, media melaporkan lapan wartawan terbunuh, sekurang-kurangnya 10 lagi cedera dan dua lagi hilang selepas diserang rejim Israel.

Israel meneruskan siri serangan udara hingga menyebabkan lebih 70 fasiliti industri dan 970 rumah musnah sepenuhnya, manakala kira-kira 7,920 rumah musnah sebahagian.

Dalam pada itu, dilaporkan pesawat perang Israel mengebom sebuah rumah milik keluarga Za’anin di Beit Hanoun, utara Gaza, tanpa memberi amaran awal.

Keadaan itu memusnahkan bangunan empat tingkat yang didiami empat buah keluarga.

Pengeboman itu mengakibatkan kematian 20 orang awam yang berada di dalam bangunan berkenaan, termasuk 11 kanak-kanak dan lima wanita.

Dalam kejadian sama, pesawat Israel dilaporkan menyasarkan sebuah rumah milik keluarga Nabahin, di timur kem pelarian Bureij di tengah Gaza.

Serangan itu menyebabkan 13 orang meninggal dunia, termasuk 10 kanak-kanak dan dua wanita.

Selain itu, sebanyak 14 stesen air dan sanitasi juga difahamkan telah mengalami kerosakan yang teruk.

Menurut kenyataan Euro-Med Monitor lagi, lebih memburukkan keadaan, Israel telah menyasarkan serangan terhadap tujuh hospital dan pusat kesihatan sehingga merosakkan sebahagian besar kemudahan di situ.

Serangan berterusan di bangunan tersebut juga menyukarkan pergerakan keluar masuk kakitangan hospital.

Situasi itu memaksa penduduk mendapatkan bantuan perubatan di Hospital Beit Hanoun, iaitu satu-satunya hospital yang terdapat di bandar Beit Hanoun.

Pegawai daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa Israel menolak permintaan untuk memindahkan individu yang cedera parah menerima rawatan di luar Gaza. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram