SEORANG ahli politik Israel menggesa tentera rejim Zionis untuk menggunakan bom nuklear ke atas Semenanjung Gaza bagi menamatkan konflik antara kedua-dua pihak.
Gesaan itu dibuat oleh ahli Parti Likud, Revital Tally Gotliv menerusi kenyataan di laman sosial X (Twitter), baru-baru ini.
"Misil Jericho! Misil Jericho! Amaran strategik sebelum mempertimbangkan kerahan tentera. Senjata Hari Pengakhiran! Ini adalah pendapat saya. Semoga Tuhan pelihara semua kekuatan kita.
"Hanya satu letupan yang menggegarkan Asia Barat akan memulihkan maruah, kekuatan dan keselamatan Israel.
"Saya menggesa anda (tentera rejim) untuk melakukan segala-galanya dan menggunakan senjata Hari Pengakhiran tanpa rasa takut terhadap musuh kita," tulisnya menerusi laman X.
Tangkap layar posting Tally Gotliv di Twitter.
Tally Gotliv turut mengarahkan rejim Israel untuk menghancurkan Palestin secepat mungkin.
"Hanya dengan meratakan Semenanjung Gaza tidak akan mencukupi. Israel mesti 'menghancurkan' seluruh Gaza," tulisnya lagi.
Konflik terbaru Palestin-Israel tercetus apabila pejuang Hamas melancarkan serangan besar-besaran menerusi Operasi Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober lalu untuk membalas kekejaman rejim Zionis yang menindas penduduk Gaza sejak puluhan tahun.
Tally Gotliv mengarahkan tentera rejim Zionis untuk menyerang Palestin dengan menggunakan serangan nuklear.
Pertempuran kedua-dua pihak setakat ini mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan kebanyakan mangsa merupakan penduduk awam Palestin yang maut dalam serangan udara tentera rejim.
Lapor Euro-Med Monitor, serangan Israel telah mengakibatkan kematian lebih 1,000 rakyat Palestin, dengan kira-kira 60 peratus daripada mereka adalah orang awam, termasuk 185 kanak-kanak dan 120 wanita.
Sementara itu, kira-kira 5,000 penduduk lain mengalami kecederaan, dengan ratusan lagi terperangkap di bawah runtuhan dan juga di sepanjang kawasan sempadan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram