[VIDEO] Duta Palestin tak makan provokasi, siap 'sekolahkan' wartawan Britain


  • Benua
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Husam Zomlot ketika dalam siaran langsung temu bual bersama wartawan BBC di United Kingdom pada Ahad malam.

KONFLIK Palestin-Israel kini sudah berlanjutan selama seminggu dengan menyaksikan lebih 2,800 orang menjadi korban pertempuran kedua-dua pihak.

Segalanya bermula pada 7 Oktober lalu apabila Hamas melancarkan 5,000 roket secara berterusan ke tas Israel sebagai usaha menghentikan penderitaan rakyat di Palestin sejak puluhan tahun.

Namun media antarabangsa terutamanya pro-Barat cuba memutarbelitkan situasi di Gaza dan Israel dengan menuding jari bahawa Hamas bertanggungjawab sepenuhnya dalam konflik terbaru di Asia Barat itu.

Bagaimanapun, Duta Palestin ke United Kingdom, Husam Zomlot baru-baru ini memberi tamparan hebat kepada media terkenal negara itu, BBC (The British Broadcasting Corporation) apabila 'membasuh' wartawan syarikat itu berhubung isu Palestin-Israel.

Tular di media sosial sejak Selasa mengenai video yang dimuat naik di Twitter (X) oleh @hzomlot memaparkan temu bual Husam Zomlot bersama seorang wartawan BBC yang menunjukkan keengganan Duta Palestin itu untuk mengutuk Hamas dan menyatakan bahawa dunia tidak seharusnya memberi persamaan antara Israel dan Palestin.

Beliau turut kesal dengan tindakan masyarakat antarabangsa yang tidak mengendahkan amaran mereka selama bertahun-tahun dan isu antara Israel-Palestin dibiarkan berlarutan selama beberapa dekad.

"Saya kesal kerana baru ada perhatian sekarang di BBC dan di seluruh dunia hanya kerana pertumpahan darah yang sedang berlaku. Saya harap kami tidak sampai ke saat ini," katanya sambil menjawab soalan mengenai apa yang terlintas di fikirannya.

Tidak berhenti setakat itu, ketika ditanya sama ada beliau menyesali kehilangan nyawa di Israel, Zomlot berkata, sudah pasti bahawa setiap nyawa yang hilang amat dikesali dan tragis.

Screenshot (446)

Serangan bom oleh rejim Zionis di Gaza pada 7 Oktober.

Pada masa yang sama, ketika sesi siaran langsung berjalan, wartawan BBC tersebut telah mengundang kekesalan Zomlot kerana soalam provokasi yang cuba ditujukan kepadanya iaitu sama ada dia mengutuk pembunuhan orang awam oleh Hamas.

Sejurus itu, Zomlot terus membidas dan membalas kembali dengan menyatakan bahawa ia merupakan soalan yang tidak betul dan tidak penting.

"Hamas adalah kumpulan pejuang, anda bercakap dengan wakil Palestin dan dasar kami dengan sangat jelas. Ini bukan tentang sokongan atau tidak sokongan kepada Hamas.

"Saya di sini untuk mewakili rakyat Palestin dan apa yang telah mereka lalui. Saya di sini bukan untuk mengutuk sesiapa dan jika sesiapa yang perlu dikutuk adalah apa yang anda panggil 'satu-satunya demokrasi di Asia Barat, maka itu adalah Israel," katanya kepada wartawan BBC tersebut.

Screenshot (444)

Keadaan masjid yang dibina atas sumbangan Malaysia musnah akibat serangan Israel.

Dalam pada itu, Zomlot mendakwa bahawa Israel menyasarkan orang awam di Palestin dan terus menegaskan tentang pendiriannya ketika terus diasak dengan soalan provokasi berhubung tindakan Hamas.

"Hamas bukan kerajaan Palestin. Kerajaan Israel sedang memberi arahan kepada barisan tenteranya. Jangan lontarkan sebarang persamaan di sini. Jangan samakan dengan penghuni dan penjajah. Ini tidak memberikan sebarang keadilan," tegasnya.

Hamas yang merupakan sebuah kumpulan pejuang menguasai Semenanjung Gaza, manakala Pihak Berkuasa Palestin di bawah pimpinan Fatah memerintah Tebing Barat. Hamas juga adalah saingan kepada Pihak Berkuasa Palestin yang mengiktiraf Israel dan mahukan penyelesaian secara aman.

Zomlot berkata, sejak 1948, ketika Israel dibentuk, wilayah Yahudi itu menjadikan rakyat Palestin sebagai sasaran untuk memberi tekanakan kepada pejuang di Gaza.

"Jadi persoalan sebenar adalah bagaimana kita menghentikan kitaran maut yang ganas ini. Israel telah melakukan jenayah perang berkali-kali tetapi pegawai mereka tidak pernah diminta untuk mengutuk diri mereka sendiri," katanya ketika ditanya lagi tentang mengapa dia tidak mengutuk Hamas.

Screenshot (445)

Keadaan rakyat Palestin yang menderita akibat daripada serangan tanpa perikemanusiaan oleh Israel.

Beliau berkata, rakyat Palestin yang sentiasa diharapkan untuk mengutuk diri mereka sendiri.

"Ini adalah konflik politik, hak kami telah dinafikan dalam masa yang lama dan ini adalah titik permulaan yang salah. Titik permulaan yang betul adalah memberi tumpuan kepada punca utama," tambahnya lagi.

Duta Palestin itu berkata, media memberi tumpuan kepada isu apabila rakyat Israel dibunuh tetapi tidak menunjukkan apabila Tel Aviv menyerang rakyat Palestin.

"Anda membawa kami ke sini apabila orang Israel dibunuh. Adakah anda membawa saya ke sini apabila lebih daripada 200 orang sejak beberapa bulan lepas rakyat Palestin di Tebing Barat dibunuh? Adakah anda menjemput saya apabila terdapat provokasi Israel sedemikian di Yerusalem dan di tempat lain?," tanya Zomlot kepada wartawan BBC itu.

Zomlot berkata, apa yang dilihat oleh Israel dalam serangan Hamas baru-baru ini adalah apa yang rakyat Palestin telah melihat setiap hari selama 50 tahun yang lalu.

"Anda tahu, keadaan di Gaza, anda baru saja menerangkannya. Ini adalah penjara terbuka yang terbesar," jelasnya lagi.

Melalui temu bual yang tular itu juga, rata-rata warganet memuji kehebatan Zomlot dalam menangkis dan berhadapan dengan soalan yang diajukan oleh wartawan BBC tersebut.

"Berikut adalah wawancara cemerlang daripada Duta Palestin, Husam Zomlot, di mana dia enggan membiarkan BBC News secara hipokrit mengetengahkan perbincangan dalam bentuk perangkap paradigma kutukan.

"Sebaliknya, beliau memfokuskan perbualan pada punca penderitaan dan penentangan yang berlaku di Palestin," komen @aneestherapper.

Penolong Profesor di Jabatan Perhubungan Antarabangsa di Universiti Ankara Yildirim Beyazit, Turki turut meninggalkan komen dan berkata, Duta Palestin itu memberikan kelas latihan dan cara untuk membuat liputan tentang konflik Palestin-Israel kepada wartawan BBC itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram