Bajet 2024 : Semangat..semangat, pasti okay — PMX


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Seorang kanak-kanak sempat bersalaman dengan Anwar yang singgah menjamu selera di Medan Selera Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan. — Bernama

MEMASUKI tahun kedua melaksanakan tanggungjaawab membentang belanjawan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau telah bersedia dan akan membentang perancangan belanjawan negara itu dengan penuh bersemangat.

Ditanya perasaannya sebelum membentangkan belanjawan, Anwar ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya pada Jumaat, secara ringkas berkata: "Semangat... semangat. Pasti okay”.

Pada pukul 4 petang Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2024 di Parlimen.

Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna ungu muda bersamping dan mengenakan selempang Palestin, kemudian bersalaman dengan jemaah sebelum bergerak meninggalkan pekarangan masjid itu.

Anwar sebelum ini menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah yang terdiri daripada penduduk setempat serta penjawat awam, dan mendengar khutbah bertajuk Solidariti Pertahankan Palestin yang disampaikan Ketua Imam Masjid Mahmoodiah, Abu Bakar Mohd Noor.

Beliau yang tiba di masjid itu pukul 12.55 tengah hari, disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan pihak pengurusan masjid.

Anwar kemudiannya menjamu selera dengan menikmati asam pedas dan kari ikan di Medan Selera Masjid Mahmoodiah yang terletak dalam kawasan masjid itu.

Perdana Menteri turut melancarkan Tabung Palestin Jabatan Perdana Menteri-Hal Ehwal Agama (JPM-HEA).

Aktiviti makan tengah hari dan menunaikan solat Jumaat bersama rakyat merupakan program rutin mingguan Anwar sejak menerajui Kerajaan Perpaduan selepas Kabinet dibentuk pada 2 Disember lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram