PENGUMUMAN kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan satu berita yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh kebanyakan rakyat Malaysia khususnya oleh golongan pekerja sektor swasta di dalam negara.
Ini kerana tahap pengagihan dividen yang tinggi bakal memberikan kesan langsung kepada simpanan persaraan yang sangat penting bagi membantu mereka menghadapi fasa kehidupan di hari tua.
Pada Mac lalu, KWSP mengumumkan bahawa agihan dividen direkodkannya bagi tahun 2022 adalah sebanyak 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Shariah bagi tahun 2022.
Angka peratusan tersebut merupakan satu penurunan berbanding pada tahun sebelumnya yang menyaksikan badan pengurusan pemegang amanah simpanan persaraan itu merekodkan nilai dividen 6.10 dan 5.65 peratus masing-masing bagi Simpanan Konvensional dan Shariah.
Bagaimanapun, dengan mengambil kira perkembangan semasa ekonomi negara pada waktu ini, pakar ekonomi meramalkan bahawa kadar dividen KWSP pada tahun ini dijangka melonjak lebih tinggi berbanding 5.35 peratus pada tahun lalu.
Menurut mereka, nilai tersebut boleh dicapai sekiranya keadaan pasaran terus positif atau bertambah baik pada separuh kedua 2023.
Bagi separuh pertama tahun ini, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM9.44 bilion berbanding RM23.75 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Rekod dividen KWSP yang dicatatkan sejak 2010.
Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST) Geoffrey Williams berkata, keputusan separuh pertama 2023 KWSP adalah sangat kukuh, gabungan pengurusan mantap, hasil pulangan permodalan pantas dan beberapa pelarasan teknikal yang berkesan.
"Walaupun prestasi separuh kedua 2023 adalah sejajar dengan tahun lepas, pulangan keseluruhan harus lebih kukuh. Justeru, prospek dividen kelihatan positif dan ia diunjurkan lebih baik daripada 5.35 peratus pada 2022,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Dalam pada itu, menerusi laporan sama, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pemulihan ekonomi negara juga dilihat berada di landasan tepat apabila lebih ramai rakyat Malaysia kini memiliki pekerjaan.
Katanya, situasi itu boleh dilihat apabila KWSP mencapai jumlah ahli aktif seramai 8.7 juta pencarum, iaitu paras tertinggi setakat separuh pertama 2023.
"Ini dicerminkan dalam penurunan kadar pengangguran daripada 3.6 peratus pada Januari 2023 kepada 3.4 peratus pada Jun 2023.
Ia turut menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia menerima pendapatan tetap daripada pekerjaan mereka yang kemudian diterjemahkan kepada sumbangan yang lebih tinggi daripada ahli,” katanya.
Sementara itu, melihat kepada rekod agihan dividen KWSP sejak 2010, ia pernah merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak lima kali dengan kali terakhir adalah pada 2021.
Ia apabila dividen diumumkan meningkat sebanyak 0.9 peratus kepada 6.10 peratus berbanding 5.20 pada tahun sebelumnya.
Peningkatan tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh tersebut adalah pada 2017 apabila KWSP mencatatkan dividen 6.90 peratus, iaitu menaik 1.2 peratus berbanding 5.70 peratus pada tahun sebelumnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram