SEORANG peniaga makanan di Taman Mewah, Kamunting, Perak berdepan detik cemas selepas gerainya dirempuh oleh sebuah kenderaan yang terbabas ketika cuba untuk mengundur.
Video kejadian yang berlaku pada Ahad itu tular di sosial media dengan maklumat diperoleh daripada sumber awam mengatakan insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan serius terhadap mana-mana individu.
Difahamkan, semasa kejadian, kenderaan terbabit dipandu oleh seorang warga emas.
Menerusi beberapa klip yang dikongsikan, premis tersebut mengalami kerosakan agak teruk di bahagian dapur akibat kemalangan berkenaan.
Dalam pada itu, dalam satu video berasingan, lelaki dipercayai pemilik gerai terbabit dilihat terduduk menyaksikan keadaan warungnya ekoran insiden tersebut.
Beberapa orang awam didapati tampil menenangkan dan memberikan semangat kepada lelaki terbabit yang difahamkan menjalankan perniagaan tersebut bersama isterinya yang turut boleh dilihat berada di lokasi.
"Kena tawakal, semua yang berlaku atas izin ALLAH. Kalau ALLAH nak bagi rezeki lebih kepada pemilik kedai ni, percayalah selepas ini pasti dua dimurahkan rezeki. Amin," tulis seorang pengguna Facebook, Muhammad Asraff Misbah di ruangan komen.
Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang memaklumkan bahawa warga emas terbabit dipercayai mengalami insiden strok ketika kemalangan sehingga menyebabkannya gagal mengawal kereta dipandu.
"Semoga ALLAH permudahkan urusan mangsa dan pemandu kenderaan yang katanya kena strok. Semoga pemilik kedai bertabah," ujar Muslim Hamzah.
"Kesiannya Pak Cik tu. Kereta dia pun teruk. Dia pun tak sengaja. Apa pun semoga dipermudahkan urusan kedua-dua pihak. Ada hikmah yang terjadi," kata Rafidah Aziz Syufie.
Difahamkan, pemilik restoran dan pemandu terbabit sudah mencapai persefahaman untuk penyelesaian ganti rugi ekoran kemalangan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram