PELUMBA negara, Md Izzat Zaidi ditimpa kemalangan semasa sesi Super-Role pada perlumbaan Cub Prix Malaysia di Litar Bandar Medini Iskandar, Johor pada Sabtu.
Menerusi video tular di media sosial, sewaktu sesi Super-Pole itu, Izzat yang memacu jentera Yamaha melanggar penghadang jalan dan terbabas ke pagar keselamatan di tepi litar.
Akibat kemalangan ngeri itu, pelumba dari CKJ Racing Team itu kini difahamkan masih berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor.
Khabar sedih itu turut dimaklumkan oleh isteri pelumba itu menerusi laman sosial yang mengharapkan doa rakyat Malaysia agar diberi keajaiban dan kesembuhan buat suaminya.
“Assalamualaikum. Saya isteri kepada Md Izzat Zaidi ingin memohon doa kalian agar diberikan keajaiban serta kesembuhan buat suami saya Izzat.
“8 Oktober 2023 Izzat telah menjalani pembedahan disebabkan banyak kecederaan di bahagian paru-parunya dan sebahagian tulang rusuk yang patah.
“Izzat kini bergantung 100 peratus pada mesin bantuan pernafasan buat masa sekarang dan ditempatkan di ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru Keadaannya sangat kritikal. Semoga ALLAH SWT mudahkan urusan dan angkat segala penyakitnya. Amin,” tulis hantaran tersebut.
Untuk rekod, pada Jun lalu Izzat berjaya membantu pasukannya PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing untuk meraih kemenangan bagi kategori CP150 pada perlumbaan akhir pusingan keempat Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram