[VIDEO] Jadi punca kemalangan akibat tayar ganti, pemandu kena gantung lesen pandu secara melulu


  • Benua
  • Ahad, 08 Okt 2023

Tangkap layar kereta terbabas sebanyak dua kali di United Kingdom.

RAKAMAN menunjukkan seorang pemandu hilang kawalan sehingga berpusing beberapa kali di jalan M25, Hertfordshire, United Kingdom sebelum keretanya terbabas sebanyak dua kali.

Insiden dipercayai berlaku pada pukul 7.50 malam, 20 Disember 2022 ketika Jack Doolan memandu kereta berjenama Ford Fiesta.

Pada masa itu, Jack memandu pada kelajuan 120 kilometer sejam walaupun kereta itu dipasang dengan tayar penjimat ruang, sejenis tayar ganti yang lebih kecil dan nipis yang mempunyai kelajuan maksimum yang disyorkan 80 kilometer sejam sahaja.

Berdasarkan rakaman dashcam, pemandu itu dilihat menekan brek dan membelok kereta ke seberang jalan sehingga merempuh sebuah lagi kereta yang berada di lorong sama.

Akibat rempuhan itu, Jack hilang kawalan dan cuba mengawal keretanya tetapi merempuh pula penghadang konkrit yang berada di bahagian tengah jalan.

Ekoran kejadian itu, Jack ditahan polis dan dibicarakan atas kesalahan berkenaan.

Menurut laporan mahkamah, Jack dari Temple Close, Cheshunt, Hertfordshire, United Kingdom mengaku bersalah atas kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.

Pemandu itu kemudian hilang kelayakan memandu selama dua tahun ketika dia hadir di Mahkamah Mahkota St Albans pada Isnin.

Dia juga dijatuhi hukuman perintah komuniti selama 12 bulan yang mana dia harus menjalankan 200 jam kerja komuniti selain melengkapkan 10 hari aktiviti pemulihan dan membayar kos £250 (RM1,446.61). Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram