SEKUMPULAN lelaki disyaki melakukan kegiatan mencuri wang daripada kios peniaga seperti yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah tapak perniagaan di Sungai Petani, Kedah.
Difahamkan kejadian berlaku pada awal pagi Sabtu, berdasarkan perkongsian maklumat di Telegram Penduduk Sungai Petani.
Menurut perkongsian itu, kecurian tersebut berlaku di premis Port Lepak yang merupakan salah satu tempat makanan popular yang terletak di Bandar Laguna Merbok di Sungai Petani.
"Kita faham keadaan agak gawat sekarang ni. Tapi jangan mencuri. Mai minta kita pasti bagi," kata perkongsian berkenaan.
Tangkap layar CCTV menunjukkan kegiatan pelaku semasa mencuri di Port Lepak Sungai Petani.
Menerusi satu rakaman yang dimuat naik oleh pengguna Facebook, sekumpulan lelaki terdiri daripada tiga hingga empat individu dilihat cuba mengumpil kios ketika premis berkenaan lengang.
"Buat job (kerja mencuri) dalam tiga ke empat orang. Masa lebih kurang antara 7.50 hingga 8.55 pagi. Suspek dipercayai menaiki Honda City," kata perkongsian itu lagi.
Difahamkan, jadual operasi Port Lepak itu adalah dari pukul 4 petang hingga 12 pagi manakala kegiatan jenayah tersebut dilakukan ketika operasi perniagaan belum bermula.
Rakaman turut memperlihatkan aksi seorang lelaki berjaya membuka pintu salah satu kiosk dan disyaki mengambil wang yang disimpan rapi di dalamnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berasa pelik kerana kegiatan jenayah itu dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang dirasakan berkemampuan dari segi kewangan kerana memandu kereta Honda City.
"Awal pagi lagi sudah mencuri," kata Syahira Razali.
"Kedai makan sini sedap, tidak sangka pula ada orang berniat mahu mencuri ya," kata Aisyah Rauf.
"Aik, pakai kereta Honda City pun mencuri wang daripada kios, pelik ini," kata Syafiq.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis berhubung kejadian terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram