Kehadiran 3 tekong darat bongkar hasrat 53 PATI cuba keluar negara secara haram


  • 112
  • Isnin, 09 Okt 2023

Seramai 53 PATI cuba keluar dari negara ini secara haram ditahan polis dalam satu serbuan berhampiran sebuah rumah di Olak Lempit pada Jumaat lepas.

POLIS menahan 53 warga asing termasuk lapan wanita dipercayai cuba untuk keluar dari Malaysia secara haram, berhampiran sebuah rumah sewa di sekitar Olak Lempit, Banting, Selangor pukul 6.45 petang pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh berkata, penahanan kesemua suspek oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih itu dilakukan rentetan tangkapan tiga lelaki warga asing dipercayai tekong darat dalam sebuah kereta berhampiran kawasan kediaman itu hari yang sama.

"Hasil daripada soal siasat terhadap tiga suspek itu, polis membuat serbuan di sebuah rumah sewa dan mendapati seramai 45 lelaki serta lapan wanita warga asing gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri.

"Suspek-suspek ini mengaku ingin keluar dari negara melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dan mereka semua dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta dan dua unit telefon bimbit dalam tangkapan yang membabitkan suspek berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun itu.

Katanya, kesemua 53 suspek itu direman 14 hari manakala tiga tekong darat tersebut ditahan 28 hari bermula pada Jumaat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram