SEORANG wanita menjadi mangsa body shaming kerana dikatakan memiliki tubuh badan yang besar ketika menjamah makanan di sebuah restoran di Indonesia pada Ahad.
Body shaming atau perbuatan mengejek fizikal seseorang bukanlah sesuatu yang baharu, namun nampaknya tiada apa yang boleh menghalang seseorang daripada meneruskan bentuk penderaan ini ke atas diri orang lain.
Rakaman video berdurasi seminit itu mulai tular ketika dimuat naik mangsa menerusi laman TikTok sejak Ahad.
Mangsa, dikenali dengan nama popularnya Mbakdess merupakan seorang pempengaruh media sosial.
Mbakdess yang sering memuat naik rakaman video menikmati makanan enak di Indonesia meraih lapan juta penonton bagi video tersebut.
Pada mulanya, seorang lelaki berumur sekitar 50 tahun secara tiba-tiba mengejek Mbakdess yang berada di meja depannya kerana kelihatan enak menjamu selera.
Tanpa menyadari, Mbakdess merakam tindakan terkutuk lelaki itu yang melontarkan kata-kata kurang baik kepadanya.
"Badan sudah macam itu, masih juga makan banyak," kata pelaku sambil mengetawakannya.
Tindakan body shaming yang mencetuskan rasa marah mangsa menyebabkan Mbakdess merakam kembali sosok lelaki yang mengejeknya dan menyiarkannya di laman TikTok.
Mbakdess berasakan tindakan menghina fizikal seseorang yang dilakukan di tempat umum tidak wajar berlaku kerana boleh mendatangkan tekanan emosi seseorang.
Tambahan pula, mereka sama sekali tidak mengenali antara satu sama lain.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berasakan tindakan merendahkan orang lain akan menyakiti hati seseorang.
"Jangankan kepada orang yang tidak kenal, kepada orang kenal juga tidak boleh, kalau orang itu beradab dan beragama, sudah jelas dia tidak akan menyakiti hati orang lain," tulis Saiful.
"Jangan fikirkan kata orang, yang penting kita senang dengan kehidupan kita," tulis Ramajagandhi.
"Boleh pula perempuan ini berdiam diri, jika aku berada di situasi itu pasti sudah bertindak," kata Syarisah Irzami.
Walaubagaimanapun, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan pihak polis berhubung kes penderaan fizikal ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram