[VIDEO] Lagi kes kemalangan pemandu mabuk di KL, lelaki mamai bagi alasan caj telefon


  • Tular
  • Ahad, 08 Okt 2023

Tangkap layar video kemalangan terbabit yang tular sejak Sabtu.

TULAR satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dipercayai dipandu seorang lelaki yang sedang dalam keadaan mabuk bersama beberapa kenderaan lain di Kuala Lumpur.

Video mengenai kejadian tersebut dimuat naik oleh sebuah akaun TikTok, shah_jackd pada Sabtu.

Menerusi klip berdurasi 31 saat itu, lelaki terbabit yang dilihat sedang duduk di kerusi tempat duduk pemandu kenderaanya dan disoal siasat oleh orang awam.

Dia juga turut enggan keluar daripada keretanya dan memberikan alasan kerana mahu mengecas barangan dipercayai telefon bimbitnya.

Dalam pada itu, video tersebut turut memaparkan sebuah kenderaan lain di hadapan kereta lelaki tersebut yang dilihat remuk akibat kemalangan tersebut.

Di akhir klip berkenaan, dia yang memakai baju kemeja t-shirt berwarna merah dan seperti berada dalam keadaan mamai juga meminta orang ramai untuk memanggil pihak polis.

Setakat laporan ini ditulis, masih tiada kenyataan daripadap pihak berkuasa berhubung insiden tersebut.

Status kecederaan mangsa yang terlibat dalam kejadian itu juga tidak dapat dipastikan.

Pada tahun ini, terdapat beberapa kes kemalangan membabitkan kenderaan yang dipandu oleh individu dalam keadaan mabuk.

Pada 4 Jun lalu, tiga penunggang motosikal dilaporkan maut, manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh pemandu mabuk di bawah jejambat di Kilometer 19.6 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Petaling Jaya, Selangor.

Untuk rekod, Subseksyen (1A) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 menetapkan mana-mana individu yang berada di bawah pengaruh minuman atau dadah boleh disabitkan kesalahan penjara minimum 7 tahun dan maksimum 10 tahun.

Pesalah juga boleh dikenakan denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum 7 tahun bagi sabitan kali pertama.

Dalam pada itu, Seksyen 44 akta sama turut menetapkan bahawa bagi kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram