Pemandu mabuk rempuh 6 penunggang motosikal berteduh di NKVE dibebas dengan jaminan polis


  • 112
  • Isnin, 05 Jun 2023

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.59 pagi Ahad itu meragut tiga nyawa manakala tiga lagi penunggang motosikal parah. — Facebook

PEMANDU kereta yang disiasat merempuh enam penunggang motosikal ketika berteduh daripada hujan di bawah jejambat di KM19.6 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan dekat Petaling Jaya, Selangor pada Ahad telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 26 tahun itu mengalami patah bahu akibat kemalangan berkenaan dan sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Beliau berkata, polis selesai merekodkan keterangannya pada Rabu berhubung kejadian itu.

"Keputusan saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan negatif penggunaan dadah namun ujian alkohol mendapati tahap alkohol dalam badannya melebihi paras dibenarkan.

"Selain itu, polis juga selesai mengambil keterangan pihak lain yang terlibat dalam kemalangan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu saksi kejadian tampil membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

nkve

Keadaan kereta yang dipandu oleh lelaki tersebut selepas merempuh enam penunggang motosikal di bawah jejambat. — Facebook

Pada Ahad, tiga penunggang motosikal dilaporkan maut manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan ketika mereka sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat di KM19.6 Lebuhraya NKVE arah selatan dekat Petaling Jaya.

Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 5.59 pagi dengan tiga penunggang motosikal itu maut di lokasi kejadian manakala tiga penunggang yang cedera dirawat di Hospital Sungai Buloh. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram