[VIDEO] Ambil masa hanya beberapa saat, pemandu Iriz cabut spoiler 'King' di kawasan parkir sebelum menghilang


  • Tular
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Tangkap layar video tular seorang lelaki mencuri komponen kereta Perodua Myvi di kawasan parkir baru-baru ini.

TINDAKAN seorang lelaki mencuri bahagian komponen sebuah kereta jenis Perodua Myvi di sebuah kawasan parkir menjadi bualan warga maya baru-baru ini.

Masakan tidak, melalui video yang dimuat naik di laman Facebook Cam CPS pada Sabtu itu memaparkan lelaki berkenaan dengan selamba melakukan perbuatan tersebut pada siang hari.

Lebih mengejutkan lagi, lelaki yang menaiki kereta Proton Iriz itu hanya memerlukan beberapa saat untuk mencabut bahagian sayap belakang (spoiler) kenderaan tersebut.

Lelaki berkenaan kemudiannya dilihat beredar dari kawasan kejadian bersama rakan subahatnya dipercayai sedang menunggu di dalam kereta.

Menjengah ke ruangan komen, tindakan individu itu dikecam hebat oleh pengguna media sosial yang menyifatkan mereka sebagai terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

"Bawa Iriz tapi kaki 'rembat' (curi). Ini mesti dia nak jual dekat mana-mana ini. Myvi pun sudah tak selamat sekarang," kata Afiq Sulaiman.

"Barang 'King' (Myvi) sekarang mahal, itu yang tangan gatal nak mencuri. Geram pula aku tengok," tulis Adam Motorsport.

"Terdesak sangat sudah itu sampai sanggup mencuri. Aku tak hairan sangat benda ini selalu berlaku sekarang," ujar Fahmi Nadira pula.

Namun, setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan lokasi dan kejadian sebenar berlaku.

Pada masa sama, masih belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa ataupun pemilik Myvi berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram