Ingat dah hantar taska, bayi doktor maut tertinggal 10 jam dalam kereta dekat parkir hospital


  • 112
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Bayi itu tertinggal kira-kira 10 jam di dalam kereta ibunya di kawasan parkir kenderaan Hospital Canselor Tunku Muhriz (HTCM), Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis.

SEORANG bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas tertinggal kira-kira 10 jam di dalam kereta ibunya di kawasan parkir kenderaan Hospital Canselor Tunku Muhriz (HTCM), Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pegawai perubatan HTCM menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 5.53 petang.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada hari sama.

"Hasil siasatan awal mendapati pada pukul 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan mangsa di bahagian belakang penumpang sebelah kiri di dalam kereta untuk dihantar ke taska.

"Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan mangsa sudah dihantar ke taska," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Zam Halim, kejadian itu disedari ibu mangsa pada petang hari sama selepas suaminya memaklumkan bahawa mangsa tidak dihantar ke taska.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Sementara itu, memetik laporan media tempatan, seorang sumber memberitahu bahawa wanita tersebut bergegas ke tempat letak keretanya setelah dimaklumkan anaknya tiada di taska.

"Dia mendapati anaknya berada di kerusi bayi bahagian belakang dalam keadaan tidak bermaya dan kemudian mengeluarkan mangsa untuk memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa ke wad kecemasan untuk rawatan lanjut," katanya.

Tambahnya lagi, difahamkan bapa mangsa telah menghubungi isterinya dan memaklumkan anak mereka tiada di taska serta meminta isterinya pergi ke tempat letak kereta.

"Ketika bapa mangsa tiba di parkir kereta, dia mendapati isterinya sedang memberikan CPR kepada anaknya dan meminta isterinya membawa mangsa ke wad kecemasan untuk tindakan lanjut pada 5.35 petang," ujarnya.

Kata sumber itu, bantuan pernafasan telah dilakukan selama kira-kira enam minit, namun mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan tanda-tanda hayat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram