[VIDEO] Anak ahli politik kerjakan, gilis teman wanita dengan kereta lepas seronok berkaraoke


  • Benua
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Tangkap layar mangsa setelah dipukul dan digilis dengan kereta oleh teman lelakinya dekat Surabaya, Indonesia pada Rabu.

SEORANG wanita berusia 29 tahun berasal dari Sukabumi, Indonesia maut setelah dipercayai dipukul dan digilis dengan kereta oleh teman lelakinya yang juga merupakan anak kepada ahli politik pada Rabu.

Kronologi pembunuhan mangsa yang dikenali sebagai DSA bermula apabila suspek bernama Gregorius Ronald Tannur, 31, membawa mangsa ke pusat karaoke di Surabaya untuk berhibur.

Namun tidak lama kemudian, berlaku pertengkaran besar antara suspek dan mangsa dalam bilik karaoke tersebut.

Suspek kemudiannya mengheret tangan mangsa keluar dari bilik karaoke ke tempat parkir kereta yang agak sunyi.

Tanpa berfikir panjang, suspek bertindak memukul dan menggilis mangsa dengan kereta.

Kejadian itu bagaimanapun berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Insiden itu juga disedari pengawal keselamatan di situ, namun mereka hanya mampu menjadi penonton sehinggalah suspek menyumbat mangsa ke dalam kereta untuk dibawa pulang ke pangsapuri.

WhatsApp Image 2023-10-06 at 14.58.48

Suspek (kiri) dipercayai bertengkar dengan mangsa (kanan) sebelum bertindak memukul dan menggilisnya dengan kereta. Agensi

Setibanya ke pangsapuri tersebut, suspek mengeluarkan mangsa untuk dibawa ke biliknya namun mangsa didapati rebah ketika di kawasan parkir kereta.

Suspek yang panik melihat mangsa dalam keadaan lemah meminta bantuan orang awam di lokasi kejadian untuk membawa mangsa ke Hospital Nasional namun dia tidak dapat diselamatkan kerana telah meninggal dunia.

Hasil siasatan polis mendapati ada kesan lebam pada bahagian leher, kepala, kaki, dada dan lengan mangsa akibat dipukul dan digilis dengan kereta.

Berdasarkan laporan media Indonesia, suspek masih diburu sementara punca sebenar kejadian dalam siasatan.

Pada masa sama, ahli politik terbabit juga enggan memberikan sebarang komen berhubung kejadian itu, sambil menyerahkannya kepada siasatan polis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram