Saingan 3 penjuru, warga Pelangai 'pening' pilih wakil rakyat


  • Politik
  • Sabtu, 07 Okt 2023

Warga DUN Pelangai pada Sabtu akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih calon yang benar-benar layak untuk memimpin mereka.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai diadakan selepas kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor pada Ogos lalu.

Johari, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai antara 10 mangsa tragedi pesawat berkenaan.

Untuk rekod, DUN Pelangai mula dijadikan kawasan DUN pada 1986 dan sejak itu ia diwakili wakil rakyat daripada Barisan Nasional-Umno (BN-Umno), dengan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob mewakili kawasan itu untuk lapan penggal (1986-2022).

Johari yang juga anak jati Pelangai dicalonkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan mengekalkan kerusi itu untuk terus menjadi kubu kuat parti tersebut di Pahang.

Sementara itu, PRK Pelangai yang berlangsung pada Sabtu bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon BN, Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Warga Pelangai pada tanggal ini akan menunaikan tanggungjawab memilih calon yang benar-benar layak untuk mewakili suara mereka.

Yang pasti, calon itu perlu memenangi hati 16,456 pengundi di kawasan dengan 10 kampung tradisi, tiga buah tanah rancangan Felda, tiga buah estet dan empat Kampung Baru Cina itu.

Berikut Majoriti senaraikan tiga calon wakil rakyat yang berpotensi mengisi kekosongan di DUN Pelangai :

1) Datuk Amizar Abu Adam (Calon BN)

BENTONG, 25 Sept -- Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam bersama ayahnya Abu Adam Duaji (kanan) beramah mesra bersama pengunjung di tapak pasar malam Felda Chemomoi pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Amizar (tengah) bersama bapanya, Abu Adam Duaji (kanan) sewaktu berkempen sempena PRK DUN Pelangai.

Datuk Amizar Abu Adam yang mewakili BN merupakan antara calon yang dikatakan mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan kerana berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Situasi itu agak berbeza dengan calon PN yang tidak mempunyai banyak akses kepada agensi-agensi kerajaan dalam usaha membantu rakyat.

Amizar yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Bentong pernah bertanding kerusi DUN Ketari tetapi tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Su Keong Siong pada PRU15.

Jika dilihat kepada rekod PRU15, BN-Umno dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan kerusi DUN itu.

Ditambah dengan pakatan kerjasama dengan PH yang membolehkan undi BN dikira bersama PH.

Kemenangan BN-Umno pada PRK ini juga penting bagi membuktikan kepada penyokong Kerajaan Perpaduan bahawa parti berkenaan masih mampu memberikan input positif kepada kerjasama politik BN-PH.

2) Kasim Samat (Calon PN)

WhatsApp Image 2023-10-06 at 18.36.37

Cikgu Kasim (tengah) mahu menampilkan peribadi dan imejnya yang dekat di hati rakyat.

Gabungan parti di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menamakan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong, Kasim Samat, 62, sebagai calon mereka dalam PRK Pelangai.

Pesara guru yang mesra disapa Cikgu Kasim itu mahu menampilkan peribadi dan imejnya yang dekat di hati rakyat.

Cikgu Kassim juga sebelum ini turut diangkat sebagai calon di DUN Pelangai dalam PRU15 lalu, namun tewas kepada Johari.

Meskipun calon BN dilihat mempunyai kelebihan, namun saingan daripada PN juga sebenarnya tidak boleh dinafikan kerana parti itu memenangi 17 kerusi di Pahang ketika ini.

Berdasarkan rekod, dalam PRU15 lalu, PN berjaya memenangi 17 kerusi, BN pula menang 16 kerusi dan PH menang lapan kerusi daripada keseluruhan 42 kerusi DUN di negeri ini.

Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah menyifatkan sambutan pengundi DUN Pelangai terhadap PN dalam PRK kali ini agak berbeza berbanding PRU15 lalu.

Saifuddin berpandangan, ia mungkin juga disebabkan penduduk di Pelangai yang sebelum ini merupakan kubu kuat BN sudah mula tidak berminat dengan percaturan politik parti itu.

"Sambutan kepada calon iaitu Cikgu Kasim sangat menggalakkan dan kita lihat pada kali ini ada perbezaan daripada PRU yang lepas, ada riak sokongan daripada kumpulan yang agak baharu.

"Mereka bukan pengundi baru tetapi sudah mengundi pada pru lepas tapi kali ini ada riak menunjukkan mereka dulunya tidak memberi sokongan kepada PN, mula menampakkan kemungkinan mereka atau kesediaan mereka untuk menyokong PN," ujarnya memetik laporan portal tempatan.

3) Haslihelmy DM Zulhasli (Calon Bebas)

Haslihelmy DM Zulhasli

Calon Bebas DUN Pelangai, Haslihelmy DM Zulhasli mempunyai kaedahnya tersendiri untuk memikat hati pengundi di kawasan itu.

Penggunaan strategi yang digunakan juga berbeza, iaitu dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penduduk FELDA dan di kawasan kampung tradisional.

Bercakap berdasarkan pengalaman, Haslihelmy yang juga Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) melihat pendekatan tersebut adalah yang terbaik boleh dilakukan.

Ia memandangkan sambutan dalam kalangan pengundi majoriti bukan Melayu dalam kempennya sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Untuk rekod, ali perniagaan berusia 36 tahun itu dipecat Umno selepas menyuarakan tekad untuk bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Pelangai.

Namun dia juga mengakui tidak terkesan atas pemecatan itu walaupun hampir 15 tahun menjadi ahli parti selepas kecewa dengan parti tersebut yang disifatkan hilang prinsip perjuangan.

Meskipun dipecat daripada parti keramat berkenaan, anak jati Bentong itu yakin akan tetap meraih undi daripada orang Umno sendiri.

Pada 23 September lalu, keahlian ahli Umno Haslihelmy dilucutkan selepas dia memutuskan untuk bertanding pada PRK Pelangai di bawah tiket Bebas.

Zulhasli mendakwa bukan dia sahaja dilucutkan keahlian parti itu, tetapi beberapa anggota keluarganya menerima nasib sama.

Untuk rekod, pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (calon PH-2,031 undi) dan Isa Ahmad (calon Pejuang-65 undi).— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram