PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober depan — SPR


  • Primer
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 23 September dan 3 Oktober depan.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang pada 7 Oktober 2023.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 23 September dan 3 Oktober depan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, Putrajaya bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK DUN Pelangai yang bakal membabitkan kira-kira seramai 16,456 pemilih berdaftar di DUN Pelangai.

PRK DUN Pelangai perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lepas.

Selain Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, sembilan lagi mangsa turut terkorban dalam nahas membabitkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram