[VIDEO] Bagi alasan guna siren pinjam sebab ada kecemasan famili, Proton Saga disita


  • 112
  • Jumaat, 06 Okt 2023

Tangkap layar mengenai pemandu Proton Saga terbabit yang bertindak memandu kereta menggunakan siren secara melulu di Serdang.

SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Seorang penganggur ditahan selepas memandu kereta menggunakan siren secara melulu dalam kejadian di Jalan Serdang Perdana, Seri Kembangan, Serdang pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan ketika hadir menyerah diri kira-kira pukul 4 petang pada Rabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan mengaku memandu kereta Proton Saga yang menggunakan siren terbabit.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki itu tinggal di Nilai, Negeri Sembilan dan telah meminjam kereta terbabit daripada rakannya di Port Dickson.

"Dia meminjam kereta berkenaan kerana mendakwa ada hal kecemasan membabitkan keluarga dan dipercayai itu hanya alasannya.

"Kereta terbabit adalah milik ibu kepada rakannya yang berusia 65 tahun dan juga seorang peniaga di Port Dickson," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, keterangan semua pihak terbabit sudah diambil dan pemandu itu telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, Proton Saga itu telah dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu pada Selasa, polis dilaporkan sedang mengesan pemandu terbabit yang menggunakan siren dan dipandu secara berbahaya di lokasi berkenaan.

Kejadian itu telah tular sejak hari kejadian menerusi satu rakaman video berdurasi 48 saat menunjukkan aksi kereta itu dipandu secara melulu dengan mencelah kenderaan lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram