JKPK bakal muktamadkan butiran prosiding DNAA Zahid Hamidi


JKPK akan memanggil Peguam Negara bagi menjelaskan keputusan DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuahnya.

JAWATAN Kuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Ke-15 Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi ditetapkan untuk memuktamadkan butiran berhubung prosiding melepas tanpa membebaskan (DNAA) yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusinya, William Leong Jee Keen berkata, penting bagi jawatankuasa tersebut untuk memutuskan senarai soalan dan tarikh prosiding terlebih dahulu.

“Saya harap (mesyuarat jawatankuasa pilihan) dapat diadakan pada minggu pertama mesyuarat Parlimen, supaya seluruh jawatankuasa boleh meneliti siapa yang akan dipanggil dan taklimat apa yang ingin diberi,” katanya ketika dihubungi.

Ahli Parlimen Selayang itu turut menegaskan, jawatankuasa pilihan tersebut perlu sentiasa bersedia dalam setiap tugasan mereka.

"Sudah tentu kita ingin segera menyelesaikannya, tetapi kita perlu berlaku adil kepada orang yang dipanggil supaya mereka boleh datang dalam keadaan bersedia," ujarnya.

Untuk makluman, Dewan Rakyat akan memulakan mesyuarat ketiga tahun ini pada Isnin depan.

William menambah, keputusan kolektif adalah penting kerana JKPK merangkumi ahli Parlimen daripada kedua-dua belah parti politik.

“Kami adalah dwipartisan. Jadi tidak boleh hanya saya seorang sahaja yang menentukan hala tuju kami,” katanya.

Sebelum ini, JKPK dilaporkan akan memanggil Peguam Negara bagi menjelaskan keputusan DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuahnya.

William berkata, satu laporan akan dibentang kepada Dewan Rakyat sebaik sahaja selesai prosiding jawatankuasa itu nanti.

“Saya akan panggil kedua-dua Peguam Negara (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Tan Sri Idrus Harun (bekas Peguam Negara) untuk memberi penjelasan.

“Jawatankuasa akan bentangkan laporan selepas siasatan dibuat,” jelasnya. — The Star/Tarrence Tan

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram