Anwar nafi campur tangan DNNA kes Zahid Hamidi, keputusan ikut budi bicara bekas peguam negara


  • Primer
  • Selasa, 19 Sep 2023

Anwar Ibrahim ketika sesi menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK12 di Dewan Rakyat pada Selasa.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau terlibat dalam keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Sebaliknya beliau berkata, keputusan itu adalah berdasarkan budi bicara bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebelum bersara.

Jelas Anwar, beliau hanya meminta penjelasan berhubung keputusan DNAA tersebut dan bertanya sama ada ia boleh ditangguhkan atau tidak.

"Beliau (Idrus) kata tidak. (Katanya ia adalah) kewajipan dan budi bicaranya sebelum beliau bersara," katanya ketika sesi menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau juga meminta agar ahli Parlimen pembangkang tidak melemparkan tuduhan tanpa bukti terhadapnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa beliau langsung tidak campur tangan dalam hal berkenaan dan sedia maklum Peguam Negara memiliki budi bicara terhadap soal pendakwaan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Mana bukti saya campur tangan?

“Kenyataan sebelum ini seolah-olah (menunjukkan) perdana menteri campur tangan. Kita cakap dengan hukuman dan keadilan, bukan dengan andaian.

"Apabila Peguam Negara membuat keputusan, saya hanya bertanya tentang alasannya, (saya) tidak berbincang dengannya," katanya sambil menambah Idrus hanya memberikan 11 sebab yang mendorong pada keputusan itu.

Pada 4 September lalu, pihak pendakwaan telah mengemukakan 11 alasan untuk memohon supaya Mahkamah Tinggi memberhentikan prosiding kes Ahmad Zahid berhubung 47 pertuduhan tersebut, yang membawa kepada keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh pada hari kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Ahmad Zahid telah membangkitkan isu yang amat serius dalam surat-surat representasinya, antaranya berkenaan dakwaan bahawa beliau adalah mangsa pendakwaan terpilih kerajaan sebelum ini.

Susulan keputusan itu, Anwar berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneruskan siasatan dan pertuduhan akan dibuat sekiranya terdapat bukti tambahan.

“Saya seolah-olah mesti mengarahkan Peguam Negara meneruskan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) untuk diangggap sebagai wira, tetapi saya tidak boleh melanggar Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Perkara 145(3) menetapkan kuasa budi bicara Peguam Negara berhubung dengan memulakan, menjalankan atau memberhentikan sebarang prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid berhubung 47 pertuduhan sebelum ini mencetus pertikaian banyak pihak terutama dalam kalangan pembangkang.

Mereka mendesak kerajaan khususnya Idrus Harun dan penggantinya, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh tampil memberikan penjelasan berhubung keputusan DNAA itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram