[VIDEO] Dilepas tanpa bebas, adakah kes Zahid Hamidi sudah dianggap berakhir?


  • Massa
  • Isnin, 04 Sep 2023

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana YAB.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Bagaimanapun, keputusan itu mendapat pertikaian banyak pihak kerana ia seolah-olah memberi gambaran bahawa Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan daripada segala pertuduhan yang dibuat ke atasnya.

Laman media sosial juga pada Isnin menjadi platform perdebatan hangat melibatkan warga maya yang setiap seorang tampil dengan hujah masing-masing berhubung kes tersebut.

Tidak kurang juga yang masih ragu-ragu mengenai maksud sebenar DNAA dan apa impaknya kepada tertuduh dan kes yang sedang dihadapinya.

Justeru, Peguam, Ng Xin Ru tampil bagi memperjelas makna bagi terma perundangan berkenaan untuk memberi pemahaman yang lebih jelas kepada orang awam.

Xin Ru berkata, ‘discharged not amounting to acquittal’ atau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bermaksud seseorang tertuduh telah dilepaskan daripada pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya di mahkamah buat sementara waktu.

Namun menurutnya, ia tidak bermaksud individu tersebut telah didapati tidak bersalah atau dibuktikan tidak bersalah bagi kesalahan tersebut.

"Seseorang itu masih boleh didakwa di mahkamah bagi kesalahan yang sama pada masa hadapan," katanya kepada Majoriti.

Berbeza dengan ‘acquittal and discharged’, atau erti kata lain dilepaskan dan dibebaskan, Xin Ru berkata, seseorang itu telah dibuktikan tidak bersalah bagi kesalahan tersebut dan tidak boleh didakwa bagi kesalahan yang sama pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, kebiasaannya, pihak pendakwaan dan pihak pembelaan boleh memohon sesuatu kes DNAA, bergantung pada alasan permohonan.

Sebagai contoh, pihak pembelaan boleh memohon kes DNAA sekiranya saksi pendakwaan telah gagal hadir di mahkamah walaupun saksi tersebut telah disapina beberapa kali.

"Pihak pendakwaan pula boleh memohon kes DNAA untuk tujuan seperti siasatan lanjut atau sekiranya pihak pendakwaan tidak memiliki bukti yang secukupnya untuk meneruskan sesuatu kes," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai prima facie pula, Xin Ru memberitahu, secara ringkas prima facie bermaksud elemen-elemen bagi sesuatu pertuduhan telah berjaya dibuktikan melalui keterangan yang diberikan dalam mahkamah.

Jelasnya, di akhir kes pendakwaan, mahkamah akan membuat keputusan sama ada elemen-eleman sesuatu pertuduhan telah berjaya dibuktikan.

"Sekiranya prima facie berjaya dibuktikan, mahkamah akan mengarahkan seseorang tertuduh untuk membela diri di peringkat pembelaan sebelum mahkamah membuat keputusan di akhir kes pembelaan," kata beliau.

Selain Ahmad Zahid, berikut Majoriti senaraikan tiga lagi kes DNNA melibatkan individu-individu berpengaruh di Malaysia:

1) Datuk Seri Najib Tun Razak

Former Malaysian Prime Minister Najib Razak leaves Kuala Lumpur High Court in Kuala Lumpur, Malaysia, August 19, 2019. REUTERS/Lim Huey Teng

Najib dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tiga tuduhan tambahan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta.

Antara kes terbesar diumum sebagai DNAA namun berjaya dijatuhkan hukuman adalah pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau pada 7 Februari 2019, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tiga tuduhan tambahan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta.

Namun pada keesokan harinya, beliau didakwa semula atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen sebelum kes itu ditamatkan apabila dirinya didapati bersalah bersama empat pertuduhan lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Dalam pada itu, pada Mei 2020, anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz juga dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pengubahan wang haram US$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

2) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR, 17 Jan -- Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini pada hari pertama prosiding bela diri beliau terhadap tuduhan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan empat tahun lepas.
-- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tengku Adnan dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah, sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta.

Pada Julai 2021, Mahkamah Rayuan Putrajaya melepas dan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada tuduhan rasuah, sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta.

Hakim, Datuk Suraya Othman dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin bersetuju bahawa keputusan yang dibuat berdasarkan keterangan Tan Sri Chai Kin Kong sebelum ini dan keterangan daripada pegawai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Saad Bordani yang mengesahkan sumbangan wang sumbangan tersebut adalah sumbangan politik.

Datuk Suraya yang membacakan keputusan itu berkata bahawa keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah terkhilaf iaitu tidak memiliki arah yang jelas dan tersalah arah.

3) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim

Baling MP Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim  and brother Abdul Latif Abdul Rahim ( behind with blue shirt) were released on bailed  at a Sessions Court here Wednesday in Kuala Lumpur. (Jan 16).

Abdul Azeez dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada September 2022 melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad memohon agar bekas Ahli Parlimen Baling itu dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah atas alasan representasi yang dikemukakan tertuduh telah dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan dan memerlukan siasatan lanjut.

Abdul Azeez, 56, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah. Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lima bank di ibu negara antara 6 Sept 2010 hingga 10 April 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram