PENULARAN penyakit X boleh berasal daripada pelbagai sumber termasuk secara zoonotik iaitu jangkitan dari haiwan kepada manusia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
Sebagai penjelasan kepada penyakit X yang menjadi tumpuan banyak pihak sekarang, beliau berkata, biarpun ciri-ciri penyakit X masih belum dikenal pasti dan waktu berlakunya penyakit tersebut belum diketahui, pakar kesihatan telah menyuarakan kebimbangan terhadap impaknya.
Beliau berkata, kadar penyebaran penyakit X akan semakin meningkat seiring dengan peningkatan kontak manusia dan haiwan ditambah dengan pergerakan manusia merentas negara yang semakin mudah sekarang.
"Berbanding dengan Covid-19 yang kurang menyebabkan kematian, penyakit X dijangka akan mudah tersebar seperti campak dan mungkin mengancam nyawa seperti Ebola,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Penyakit X merupakan nama yang dicipta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2018 untuk sejenis patogen yang tidak diketahui dengan potensi untuk menyebabkan wabak di seluruh dunia.
Dr Muhammad Radzi berkata, sebagai kesiapsiagaan bagi menghadapi penyakit X, pelan pandemik yang komprehensif, peluasan kempen vaksinasi dan penyediaan peruntukan khas pandemik adalah penting seperti yang disarankan oleh WHO.
"Pendekatan ‘One Health’ yang menekankan hubungan antara manusia, haiwan dan kesihatan alam sekitar adalah komponen yang penting untuk mengeratkan kerjasama antara pelbagai disiplin,” katanya yang turut menekankan penjagaan kesihatan individu merangkumi gaya hidup sihat sebagai pemantapan kesiapsiagaan terhadap penyakit X.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga sentiasa bersiap siaga dan berwaspada terhadap kemungkinan munculnya penyakit X berdasarkan pengalaman lalu dalam menangani penyakit seperti Covid-19, virus Nipah, SARS, dan MERS-CoV manakala, sistem kesihatan negara juga sentiasa diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman kesihatan.
"Walaupun kemungkinan berlakunya penyakit X perlu diberi perhatian, namun kebimbangan berlebihan perlu dielakkan. Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya mengikuti garis panduan kesihatan, mengamalkan kesihatan yang baik dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan penyakit ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram