Teringat mandat Tok Guru, calon PAS mestilah bukan perokok


  • Politik
  • Selasa, 03 Okt 2023

Allahyarham Nik Abdul Aziz dilaporkan pernah menetapkan syarat supaya PAS menolak daripada memilih perokok sebagai calon wakil rakyat.

TUGASAN sebagai wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah satu tanggungjawab yang mudah.

Malah boleh dikatakan bahawa jadual mereka yang diberikan mandat oleh rakyat ini sentiasa padat dengan pelbagai acara dan aktiviti hampir setiap hari sepanjang tahun.

Tugasan yang dijalankan mereka meliputi keperluan menghadiri mesyuarat, menguruskan aduan dan termasuk menyantuni rakyat di kawasan masing-masing.

Kesemua perkara tersebut kebiasaannya memakan masa sehari suntuk dan ia menjadi punca mereka kebiasaannya tidak mempunyai rehat mencukupi.

Isu masalah kesihatan dalam kalangan wakil rakyat bukanlah menjadi satu rahsia dalam kalangan masyarakat.

Pada 13 September lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memaklumkan semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata, ia susulan saranan yang dibuat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) supaya pemeriksaan kesihatan secara tetap perlu dibuat terhadap semua Ahli Parlimen demi memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan baik.

Pada masa sama, Johari berkata, dalam tempoh 15 tahun lalu, beliau menyaksikan kira-kira seramai 11 Ahli Parlimen 'tumbang'.

Justeru, beliau meminta wakil rakyat supaya mengambil serius isu kesihatan mereka.

WhatsApp Image 2023-10-03 at 3.36.47 PM

Bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu kesihatan dalam kalangan wakil rakyat, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 3 Oktober 2010 dilaporkan pernah menetapkan syarat supaya PAS menolak daripada memilih perokok sebagai calon wakil rakyat.

Kenyataan itu dikeluarkan semasa beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS.

"Tiada doktor di dunia yang tidak bersetuju bahawa merokok berbahaya kepada kesihatan. Saya akan menolak perokok dari awal. Mereka bukan sahaja merosakkan kesihatan mereka tetapi juga membazirkan wang.

"Mereka mengotorkan kawasan bandar dengan membuang puntung rokok merata-rata. Merokok juga boleh mencetuskan kebakaran seperti yang berlaku dalam beberapa kejadian,” katanya menurut laporan The Star.

Beliau yang juga dikenali sebagai Tok Guru Nik Aziz menyatakan perkara tersebut semasa menjelang berlangsungnya Pilihan Raya Kecil bagi DUN Galas di Kelantan yang diadakan pada 4 November 2010. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram