UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) membawa seorang bayi perempuan Orang Asli dari Kampung Tendrik, Pos Bihai yang mengalami cirit-birit selama tiga hari, bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Gua Musang, Kelantan pada Selasa.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Akmaluddin Said berkata, operasi selama tiga jam itu menggunakan helikopter jenis Agusta Westland AW139 membawa Sasha Umaira Empot berusia setahun yang mengalami muntah-muntah, kembung perut dan panas badan, bersama ibunya Noriah Amat, 25.
"Operasi dilaksanakan bermula pukul 10.15 pagi dari Pahang ke Pos Bihai ... dan tiba di Kampung Tendrik pada pukul 11.53 pagi.
"Pesakit didapati letih dan lesu kerana tidak berselera makan selama dua hari. Pemindahan memakan masa selama enam minit dan pesawat meninggalkan kampung itu pada 11.59 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Muhammad Akmaluddin berkata, anak kapal tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 12.14 tengah hari dan seterusnya menyerahkan pesakit kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang sedia menunggu di balai itu untuk membawa pesakit ke hospital.
Katanya, operasi penerbangan dilaksanakan lima anak kapal berlepas dari BBP Gua Musang pada 12.17 tengah hari dan berakhir pada pukul 1.15 tengah hari setelah kesemua anak kapal selamat tiba di Pulau Pinang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram