Dua beradik maut tak sempat sampai sekolah, motosikal bertembung kereta di Bagan Datuk


  • 112
  • Khamis, 05 Okt 2023

Mangsa difahamkan dalam perjalanan ke SMK Seri Muar yang terletak lebih kurang 300 meter dari lokasi kejadian. — Facebook

DUA beradik yang sedang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan lain dalam kemalangan di KM45 Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk, Bagan Datuk Perak pada Khamis.

Semasa kejadian, mangsa Muhammad Lutfil Faiq Abdullah, 15, dan adiknya, Nur Lidiya Faiqah Abdullah, 13, difahamkan dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muar yang terletak lebih kurang 300 meter dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kemalangan pada pukul 7 pagi itu, motosikal terbabit ditunggang pelajar lelaki tersebut dan dibonceng oleh adik perempuannya.

Katanya, kedua-dua mangsa sedang bergerak dari arah pekan Bagan Datuk menghala ke arah Hutan Melintang.

"Setiba di tempat kejadian, motosikal mangsa disyaki memotong dengan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dipandu seorang wanita berusia 28 tahun.

"Nahas terbabit mengakibatkan dua beradik itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu wanita cedera ringan," katanya dalam kenyataan.

385347459_18119334973320208_123452119439097432_n

Mayat adik-beradik berkenaan dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat. — Facebook

Ahmad Adnan berkata, mayat adik-beradik berkenaan dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ahmad Adnan berkata, orang awam yang menjadi saksi diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hanif Ghazali di talian 013-8211978 atau 05-6122222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram