SEORANG anggota polis didakwa bertindak kasar terhadap seorang lelaki yang dikenali sebagai 'patung hidup' atau 'Lelaki Emas' di Bandra Bandstand, Mumbai, India pada Isnin malam.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan di media sosial oleh mangsa sendiri iaitu Girjesh Goud, kejadian berlaku ketika dia sedang membuat persembahan seni jalanannya.
Video yang sempat dirakam oleh orang awam pada waktu itu juga menunjukkan anggota polis yang dipercayai berpangkat konstabel itu menyerang Girjesh dan mengugutnya untuk dibawa ke balai polis.
Melalui video sama, anggota polis itu juga dilihat menolak, mencekik, dan memukul lelaki tersebut dengan sebatang kayu dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, orang ramai dilihat berkerumun dan mencuba untuk membantu Girjesh ketika diserang oleh anggota tersebut.
Menurut Girjesh melalui kapsyen yang dimuat naik bersama video itu pada Selasa, anggota polis itu datang ke arahnya dalam keadaan mabuk dan terus menyerangnya dengan sebatang kayu bersama sepucuk surat.
Katanya, dia mencuba untuk menghalangnya namun tidak berjaya kerana anggota polis itu terlebih dahulu bertindak mencengkam lehernya pada ketika itu.
Dia juga tidak menyatakan punca sebenar polis itu bertindak sedemikian tetapi mungkin dipercayai akibat pengaruh alkohol.
Sementara itu, siasatan juga dilaporkan sudah dilakukan untuk memastikan bahawa anggota tersebut dalam keadaan mabuk atau tidak ketika kejadian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram