[VIDEO] Lelaki kena bedal sampai lunyai angkara salah faham di Skudai, suspek ditahan polis


  • 112
  • Rabu, 04 Okt 2023

Tangkap layar kejadian mangsa dibelasah sekumpulan lelaki berhampiran sebuah kedai runcit di Skudai, Johor.

SEORANG individu mengalami kecederaan parah setelah dibelasah sekumpulan lelaki berhampiran sebuah kedai runcit dipercayai di Skudai, Johor.

Berdasarkan video berdurasi 10 saat yang dimuat naik di laman media sosial, suspek dilihat menggunakan senjata tajam ketika melakukan perbuatan tersebut.

Sementara itu, memetik laporan portal tempatan, Ketua Polis daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahinder Singh mengesahkan telah menerima laporan berkenaan kejadian tersebut pada 28 September lalu.

Menurut Balveer, siasatan mendapati insiden yang berlaku kira-kira pukul 8.10 malam itu terjadi di hadapan deretan kedai di kawasan Taman Desa Skudai, Johor Bahru.

Jelasnya, pergaduhan tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.

"Susulan itu, polis berjaya menangkap dan merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan tersebut daripada seorang lelaki berumur 24 tahun yang mana suspek kini berada dalam tahanan reman mahkamah selama empat hari bagi siasatan lanjut.

"Mangsa yang cedera di bahagian perut, kepala, kaki dan tangan dalam kejadian tersebut pula sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru," katanya.

Ujarnya lagi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

"Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini untuk menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Inspektor Farhan Hashim di talian 0111-4455960," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram