[VIDEO] Peniaga warga asing bertindak agresif tolak penguatkuasa cetus situasi tegang


  • Tular
  • Isnin, 18 Sep 2023

Tangkap layar video tular menyaksikan situasi tegang antara peniaga dipercayai warga asing bersama sekumpulan anggota penguatkuasa pihak berkuasa tempatan, dipercayai berlaku di Sabah.

TULAR satu kejadian rusuhan didakwa membabitkan sekumpulan peniaga dipercayai warga asing bersama anggota penguatkuasa pihak berkuasa tempatan.

Berdasarkan video berdurasi satu minit 11 saat yang tular sejak Sabtu itu, beberapa individu bertindak agresif dengan menolak anggota penguatkuasa sehingga mencetuskan situasi tegang.

Selain turut meninggikan suara, beberapa individu lain didapati turut menghalang tindakan penguatkuasa yang sedang membawa barangan dipercayai dirampas daripada premis peniaga terbabit.

Cubaan beberapa anggota pihak berkuasa untuk menarik seorang individu juga dilihat mendapat tentangan fizikal daripada kumpulan berkenaan.

"Peniaga warga asing gaduh dengan pihak berkuasa majlis," ujar tulisan pada video tular itu.

Bagaimanapun, hantaran klip tersebut tidak disertakan dengan tarikh dan tempat kejadian.

Namun, berdasarkan percakapan yang dirakam dalam video berkenaan, insiden terbabit dipercayai berlaku di Sabah.

Pada akhir video tersebut, situasi tegang itu dilihat agak kembali reda dengan pergelutan yang membabitkan beberapa individu didapati dapat ditenang dan dileraikan.

Di ruangan komen, rata-rata warganet melahirkan kegusaran mereka terhadap insiden itu dan berharap agar pihak berkuasa lebih tegas ketika berhadapan dengan kumpulan terbabit.

"Selagi tidak diambil tindakan yang tegas, selagi itu dorang naik kepala," ujar Zulhee Hee.

"Kena bawa polis FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) dengan Imigresen sekali," kata ZULnaruto.

Setakat laporan ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berkenaan kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram