[VIDEO] Macam kena pukau, lelaki tua terpinga-pinga tak sedar motor kena rembat depan mata


  • Tular
  • Selasa, 03 Okt 2023

Tangkap layar CCTV premis berhampiran memaparkan seorang lelaki didakwa cuba memukau dan mencuri motor milik warga emas di Kuala Lumpur pada Selasa.

SEORANG lelaki dipercayai mencuri sebuah motosikal milik seorang lelaki warga emas selepas didakwa mengamalkan ilmu pukau di Jalan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada Isnin.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan oleh @nanmanjoi8715 di Twitter (X) pada Selasa, suspek yang melalui jalan tersebut berhenti sebelum dilihat mencuba untuk memukau mangsa.

Dalam video yang berdurasi lebih dua minit itu juga menunjukkan kejadian berlaku di parkir motosikal yang terletak di sebuah lorong jalan di lokasi kejadian.

Anak mangsa mendakwa, bapanya seolah-olah kena pukau dan terpedaya dengan kata-kata individu tersebut sebelum motosikal jenis Honda Wave Alpha bernombor plat BNS 1908 ,ilik mangsa dibawa lari oleh individu tersebut.

Mangsa yang juga seorang warga emas turut dilihat dalam keadaan terpinga-pinga selepas lelaki tersebut berlalu pergi meninggalkan kawasan itu dengan motosikal yang dilarikannya.

Dalam rakaman yang sama, kejadian juga difahamkan berlaku di deretan beberapa premis yang bersebelahan dengan klinik.

Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berkenaan kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram