[VIDEO] Aksi 'si bulus' di babak akhir perlawanan curi perhatian, siap dapat 'offer' kelab


  • Podium
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Tangkap layar anjing tersebut meluru pergi ke padang dan mengganggu permainan berkenaan.

SEEKOR anjing menjadi tumpuan utama selepas mempamerkan kemahiran bola sepaknya semasa perlawanan Liga Expansion MX (liga divisyen kedua) antara Alebrijes de Oaxaca dan Dorados de Sinaloa.

Perlawanan itu berlangsung pada Rabu di Stadium Teknologi Oaxaca sebagai sebahagian daripada perlawanan hari ke-11 bagi kejohanan Apertura 2023 untuk liga divisyen dua Mexico.

Dalam perlawanan berkenaan, skuad tuan rumah, Oaxaca memperoleh kemenangan 4-0 ke atas pasukan pelawat.

Bagaimanapun, detik yang paling diingati dalam perlawanan tersebut bukanlah jaringan gol tetapi kemasukan ‘pemain’ yang tidak dijangka oleh penyokong dan kedua-dua pasukan.

Ketika perlawanan memasukan babak terakhir iaitu pada minit ke-91, seekor anjing meluru pergi ke padang dan mengganggu permainan berkenaan.

Menerusi video tular, seorang penjaga gol membaling bola ke arah anak anjing itu dan peluang berkenaan digunakan oleh haiwan berkenaan untuk bermain di sekitar padang perlawanan.

Anjing tersebut dilihat mahir mengelak anggota keselamatan dan pemain yang cuba menangkapnya dan seterusnya membawanya dari tepi kawasan penalti ke tengah padang bola sepak.

Mereka akhirnya berjaya menghalaunya apabila seorang kakitangan mengumpannya dengan bola lain dan membawa anjing itu ke arah kawasan bilik persalinan.

Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai kejadian tersebut namun akaun X, pasukan Oaxaca sempat bergurau bahawa akan mengambilnya sebagai pemain pasukan mereka.

Mereka meraikan kemenangan mereka dan secara berjenaka mencadangkan bahawa sudah menemui penyerang baharu sambil meletakkan emoji anjing di ciapan berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram