[VIDEO] Lelaki capik, kakak berbaju kurung disyaki curi kepala pam angin tayar di Bachok


  • Tular
  • Rabu, 27 Sep 2023

Tangkap layar video CCTV menunjukkan dua individu mencuri kepala pam angin tayar di Petron, Bachok pada Rabu.

DUA individu disyaki mencuri kepala pam angin tayar di sebuah stesen minyak Petron yang terletak di Kampung Badak, Bachok, Kelantan pada Rabu.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh pengguna Facebook, kejadian membabitkan seorang lelaki dan seorang perempuan itu berjaya dirakam oleh kamera tertutup (CCTV) yang terdapat di stesen minyak tersebut.

Difahamkan, kejadian kecurian itu berlaku pada pukul 2.06 petang.

"Pam angin stesen minyak adalah keperluan untuk semua pengguna, gunalah dengan cermat dan pakat-pakat jaga untuk sama-sama guna," tulis Jali AV Lieys.

Rakaman video yang dimuat naik di Facebook itu menunjukkan lelaki yang berjalan terhincut-hincut mencabut kepala pam angin daripada tempat asalnya dan meletakkan di atas tembok pam.

Namun, wanita berbaju kurung yang terlibat dilihat mengambil kembali kepala pam yang sudah dicabut itu ke dalam kereta dan berlalu pergi bersama lelaki tersebut.

Mereka dilihat mengambil kesempatan ketika tiada pengawasan oleh orang di sekitar kejadian tersebut.

Kedua-dua individu tersebut juga dilihat menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna silver ketika kejadian berlaku.

Sementara itu, beberapa warganet yang lain turut mengecam perbuatan pasangan tersebut.

"Masya-ALLAH, kesian motor dan kereta lain tidak boleh isi angin hari ini," tulis Mohd Azman Alias.

"Pakaian baju kurung kak mencuri, malu sungguh, pasangan pun sokong sekali," tulis Mohammad Rusydan Kamil.

"Malu korang, kepala pam angin pun curi, dah kena viral, siap ada nombor plat kereta pula tu terpapar," komen Ahmad Ja.

Bagaimanapun, masih tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkenaan dengan kejadian tersebut setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram