
SEORANG penolong pengurus eksekutif hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa atas pertuduhan mencabul kehormatan rakan sekerja wanitanya yang juga bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen swasta pada Julai 2023.
Mohd Faizal Hussain, 53, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 54 tahun itu dengan memegang tangannya bertujuan untuk mencabul kehormatannya di sebuah hotel di Damansara, Petaling Jaya pukul 1 tengah hari pada 13 Julai (Selasa).
Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman jika disabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal menawarkan jaminan RM6,000 terhadap seorang penjamin berserta syarat tambahan di mana tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Peguam Nur Afiqah Mohd Ashriee yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung ibu bapa, isteri dan tiga anak yang masih bersekolah.
"Tertuduh menghidapi penyakit gout manakala ayahnya terlantar sejak lima tahun yang lepas. Dia juga telah digantung kerja sejak laporan dibuat oleh mangsa,” katanya.
Majistret Zhafran Rahim Hamzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan untuk sebutan semula kes pada 20 November. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram