POLIS menahan seorang bekas pegawai Tentera Laut Diraja Thai yang menembak seorang wanita dan mengganggu wanita lain secara seksual di sebuah kedai runcit di wilayah utara Chiang Rai, Thailand baru-baru ini.
Difahamkan, ketika kejadian, suspek turut mengugut orang awam di lokasi kejadian yang dia boleh membunuh sesiapa sahaja kerana dia merupakan pegawai tentera laut.
Memetik laporan media antarabangsa, ThaigerNews, beberapa orang pegawai polis Chaing Khong dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan daripada seorang penduduk.
Setibanya di lokasi kejadian, polis menemui mangsa, Nongnuch Saenboonma, 48 tahun, dengan kesan tembakan di perut dan membawanya ke hospital.
Sementara itu, suspek Thana Hinsuwan, 69 tahun, ditangkap oleh rakan mangsa, Thaworn di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis selepas kejadian.
Polis turut merampas pistol yang digunakan untuk menembak mangsa.
Thaworn ketika ditemu bual media berkata, pada waktu kejadian, suspek berada di bawah pengaruh alkohol sekali gus menyebabkan dia bertindak di luar kawalan.
"Suspek mabuk dan mula mengganggu seorang wanita secara seksual dengan menyentuh payudaranya.
"Semua orang di kedai tersebut menasihatinya untuk pulang ke rumah demi keselamatannya tetapi Thana berkeras untuk berada di dalam kedai berkenaan.
"Sementara itu, mangsa, Nongnuch, cuba meyakinkan suspek untuk menghubungi isterinya dan pulang ke rumah, namun hal itu menyebabkan dia berang.
"Thana kemudian mengeluarkan pistol dari beg di pinggangnya dan tiba-tiba menembak Nongnuch di perut. Selepas tembakan, Thana menjerit ke arah orang ramai dengan mengugut dia boleh membunuh sesiapa sahaja," katanya menceritakan semula kejadian tersebut.
Dalam perkembangan lain, Pegawai Polis Chiang Khong, Ittiphon Chalathanyakit, memberitahu mangsa berada dalam keadaan selamat dan stabil tetapi masih menerima rawatan lanjut di Hospital Chiangrai Prachanukroh.
"Thana menghadapi dua pertuduhan cubaan membunuh dan menggunakan pistol di khalayak ramai tanpa kebenaran.
"Bagi pertuduhan cubaan membunuh, bekas pegawai tentera itu bakal menghadapi pertuduhan membunuh dan sekiranya didapati bersalah akan dihukum penjara seumur hidup atau penjara dari 15 hingga 20 tahun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram